Mangsa banjir Rantau Panjang Kelantan meningkat kepada 519 orang
Vivi Sumanti
Disember 11, 2022 14:01 MYT
Disember 11, 2022 14:01 MYT
PASIR MAS: Hujan berterusan sehingga menyebabkan paras air Sungai Golok terus meningkat menyaksikan mangsa banjir dari Rantau Panjang di Kelantan yang dipindahkan meningkat kepada 519 orang, membabitkan 168 keluarga setakat 12 tengah hari tadi.
Sejumlah tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka, masing-masing di Sekolah Kebangsaan Tok Deh, PPS Putat Tujuh dan Sekolah Kebangsaan Kubang Kual, Pasir Mas.
PPS di Sekolah Kebangsaan Tok Deh mencatatkan 450 mangsa banjir yang berlindung selepas beberapa kampung berhampiran Sungai Golok dilimpahi air sejak malam tadi.
Sungai Golok mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu 9.66 setakat jam 12 tengah hari tadi, manakala dua sungai lain, Sungai Golok di Tumpat dan Sungai Semerak turut mencatatkan bacaan melebihi paras berjaga-jaga dengan trend air meningkat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Zainal@Jainal Madasin ketika dihubungi memaklumkan, operasi membantu dan membawa mangsa banjir ke PPS sedang berjalan pada waktu ini.
Penduduk Rantau Panjang yang berdepan gelombang ketiga banjir bermula Jumaat lepas diingatkan supaya bersiap sedia dan berpindah sekiranya diarahkan.