KUALA LUMPUR: Walaupun hujan lebat berpanjangan dilihat semakin reda setakat tengah hari ini, jumlah mangsa banjir di Selangor dan Pahang terus meningkat dengan lebih 61,000 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Selain itu, Perak dan Negeri Sembilan turut mencatatkan peningkatan mangsa banjir, namun jumlah itu tidak melebihi 1,000 orang.
Bagaimanapun, bilangan mangsa banjir di negeri Pantai Timur, iaitu Kelantan dan Terengganu, serta Melaka menunjukkan penurunan pada tengah hari ini berbanding pagi tadi.
Di SELANGOR, seramai 32,044 mangsa banjir telah ditempatkan di 162 PPS di sembilan daerah, di negeri ini setakat 10 pagi tadi.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari di Twitter rasmi beliau memaklumkan daerah Klang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 18,858 orang.
Di PAHANG, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan jumlah mangsa banjir di negeri ini sebanyak 29,181 orang daripada 7,738 keluarga yang ditempatkan di 242 buah PPS setakat tengah hari ini.
Daerah yang dilanda banjir juga masih kekal sembilan iaitu Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.
Lebuhraya Pantai Timur menerusi catatan di laman Facebook memaklumkan misi bantuan makanan diteruskan kepada mangsa yang terkandas di sekitar Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 selain laluan KM76-KM126 Karak-Temerloh masih ditutup kedua-dua hala.
Jumlah mangsa banjir di PERAK juga meningkat kepada 254 orang setakat 1.30 petang tadi berbanding 242 orang pagi tadi dan kesemua mereka ditempatkan di tiga PPS di negeri itu, menurut Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Sekretariat Pengurusan Bencana Perak.
Tinjauan Bernama di Teluk Intan mendapati kebanyakan air di kampung-kampung masih belum surut sepenuhnya selain turut kelihatan penduduk pulang ke rumah masing-masing untuk mengambil dokumen peribadi serta barangan elektrik untuk dibawa ke PPS.
Di NEGERI SEMBILAN pula, Pengarah APM Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor dalam kenyataan berkata mangsa banjir di negeri itu, termasuk di Seremban dan Port Dickson, meningkat kepada 605 individu daripada 145 keluarga dengan 10 PPS dibuka setakat 12 tengahari tadi.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di KELANTAN menunjukkan penurunan setakat 12 tengah hari tadi apabila seramai 3,659 orang daripada 1,079 keluarga berada di PPS berbanding 3,801 orang daripada 1,098 keluarga, pagi tadi.
Sekretariat Pengurusan Bencana dan Operasi APM Negeri Kelantan Zainuddin Hussin berkata 40 PPS dibuka melibatkan 24 buah di Kuala Krai, Pasir Mas (8), Gua Musang (5), Tanah Merah (2) dan Jeli (1).
Jumlah mangsa banjir di TERENGGANU juga turun kepada 158 orang daripada 38 keluarga pada tengah hari ini berbanding 288 orang daripada 68 keluarga pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam kenyataan memaklumkan ketika ini, hanya daerah Kemaman sahaja terjejas banjir dengan enam PPS beroperasi manakala dua PPS di daerah Dungun telah ditutup secara rasmi sebentar tadi.
Di MELAKA, Pengarah APM Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin berkata jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 718 orang daripada 158 keluarga setakat tengah hari ini berbanding 826 orang dari 183 keluarga setakat 7 pagi tadi.
-- BERNAMA
Bernama
Mon Dec 20 2021

Di SELANGOR, seramai 32,044 mangsa banjir telah ditempatkan di 162 PPS di sembilan daerah, di negeri ini setakat 10 pagi tadi. - Astro AWANI/Shahir Omar

'Gummy' dilarang jual di semua platform, tidak patuh pelabelan
Tindakan penguatkuasaan termasuk rampasan produk ini akan dibuat berdasarkan peraturan.

Rusia denda Google beberapa kali kerana langgar syarat kandungan
Denda itu dikenakan kerana kegagalan Google menghapuskan kandungan berunsur ekstremisme, berita palsu serta bahan yang menghasut rusuhan.
[TERKINI] 'Gummy' dilarang jual, tidak patuh pelabelan
Produk gummy berbentuk mata yang dipercayai menjadi punca kematian kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Pulau Pinang dilarang dijual di mana-mana platform termasuk dalam talian dan pasaran domestik.

Pengurusan masjid, surau perlu tingkatkan kawalan keselamatan - Mohd Na'im
Insiden kanak-kanak dipercayai dicabul ketika berada di dalam sebuah masjid di Selangor adalah satu perkara yang perlu diambil iktibar.

Jojo sedia kongsi ilmu di Wilayah Pahlawan 2025
Jojo berkata beliau memikul tanggungjawab besar untuk menjadi lebih matang dan berdisiplin, demi menjadi inspirasi baik buat anak muda.
InRealty: LBS Memacu Pembangunan Hartanah Lestari
LBS mengekalkan amalan lestari di dalam setiap pembangunan projek hartanah.
APMM tahan tujuh lelaki Indonesia ceroboh pelantar
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan tujuh lelaki warga Indonesia yang menceroboh pelantar minyak tidak berpenghuni di Lapangan Tembikai di kedudukan 77 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu, semalam. #AWANInews
KPM pantau penjaja di luar premis sekolah - KP Pendidikan
Isu penjaja di luar kawasan sekolah akan dipantau ketat oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi menjamin keselamatan murid. #AWANInews
Cuba cabul kanak-kanak di masjid, polis tahan remaja 19 tahun
Polis telah menahan seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 19 tahun berkaitan kes cubaan merogol kanak-kanak di sebuah masjid di Batang Kali, Hulu Selangor. #AWANInews
Dialog Anak Muda: Pindaan akta untuk berhimpun
Apa sebab Akta Perhimpunan Aman 2012 perlu ditambah baik? Bagaimana pindaan baharu Akta 736 ini boleh memenuhi keseimbangan kebebasan bersuara dan soal keselamatan negara? Dialog Anak Muda, 8.30 malam ini.

Situasi banjir di Negeri Sembilan, Pahang tidak berubah pagi ini
Di Negeri Sembilan, jumlah mangsa banjir di Jelebu kekal 84 orang daripada 27 keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan D'Sury.

Sungai di Pahang semakin cetek, perlu dalamkan tangani banjir - Al-Sultan Abdullah
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah hari ini menitahkan pihak berkaitan supaya mendalam dan melebarkan sungai di negeri ini bagi menampung peningkatan taburan hujan.

Mangsa banjir di Pahang meningkat, Negeri Sembilan menurun pagi ini
Di Pahang, mangsa banjir terus meningkat kepada 178 orang daripada 54 keluarga berbanding 121 orang daripada 33 keluarga malam tadi.

Mangsa banjir di Pahang dan Negeri Sembilan meningkat malam ini
Di Pahang, mangsa banjir di daerah Bentong bertambah kepada 121 orang daripada 33 keluarga.

Banjir: 54 orang masih terjejas di Sabah
Mangsa banjir di Sabah berkurangan kepada 54 orang daripada 13 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 83 orang daripada 21 keluarga pada 8 pagi tadi.

Situasi banjir di Sabah, Sarawak tidak berubah pagi ini
Mangsa banjir di Kinabatangan kekal 107 orang daripada 29 keluarga sejak 8 malam tadi, manakala di Miri, 202 orang masih berlindung di dua PPS.

Banjir Sabah, Sarawak beransur pulih
Situasi banjir di Sabah dan Sarawak beransur pulih dengan 309 mangsa masih berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri setakat 8 malam ini berbanding 374 petang tadi.

Jumlah mangsa banjir di Sabah, Sarawak terus menurun malam ini
Di Sabah, jumlah mangsa banjir terus berkurang kepada 206 orang daripada 55 keluarga setakat 8 malam.

Mangsa banjir di Sabah dan Sarawak berkurangan kepada 1,109 orang malam ini
Di Sabah, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 505 orang daripada 159 keluarga.

2,062 mangsa banjir di Sabah, Sarawak masih berada di PPS
Sebanyak 2,062 mangsa banjir di Sabah dan Sarawak masih berlindung di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri setakat 8 pagi ini.