Mangsa banjir Kota Belud kekal 2,113 - JBPM
Ruzaini Zulkepli
Oktober 22, 2017 13:18 MYT
Oktober 22, 2017 13:18 MYT
Jumlah mangsa banjir di daerah Kota Belud kekal seramai 2,113 membabitkan 705 keluarga setakat jam 8 pagi ini, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pada Ahad.
Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah Khatizah Rahaban berkata semua mangsa masih ditempatkan di sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah berkenaan.
"Jumlah mangsa banjir di daerah Kota Belud direkodkan kekal dengan semuanya masih ditempatkan di PPS di Dewan Masyarakat Tun Said, Dewan Sekolah Menengah (SM) Agama Tun Said, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi II, Dewan Gopog Taginambur, Dewan Muhibah Tombol, Dewan SMK Taun Gusi I, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kota Belud, Dewan SK Taun Gusi dan Dewan Kompleks Sukan Butong.
"Bagaimanapun kita tetap melakukan pemantauan rapat dan mangsa banjir masih kekal 2,113 membabitkan 708 buah keluarga," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata di daerah Tuaran, mangsa banjir juga kekal iaitu seramai 245 mangsa setakat jam 8 pagi ini.
Mangsa-mangsa banjir itu masih ditempatkan di PPS Masjid Kampung Bunga Tenghilan dan SMK Sri Nangka.