Mangsa banjir KKMM mohon moratorium pembayaran sewa kuarters
Bernama
Disember 30, 2021 10:27 MYT
Disember 30, 2021 10:27 MYT
KLANG: Kakitangan Kementerian Komunikasi, Multimedia Malaysia (KKMM) yang terjejas akibat banjir baru-baru ini memohon pertimbangan pihak kementerian bagi memberi moratorium penangguhan pembayaran sewa kuarters.
Wakil Penduduk Cawangan Pengesan Siaran (CPS) KKMM Klang Suhaimi Sulaiman, 48, yang bertugas di ibu pejabat Radio Televisyen Malaysia (RTM) Angkasapuri berkata perkara itu pastinya dapat membantu 20 penduduk kuarters dari lima keluarga terbabit untuk memulakan fasa pemulihan daripada bencana.
"Jika pihak kementerian boleh memanjangkan perkara ini ianya satu keputusan yang istimewa agar dapat memberi kami sekurang-kurangnya moratorium tiga bulan kerana bayaran tersebut kami boleh gunakan untuk proses pemulihan kami," katanya kepada Bernama.
Suhaimi dan penduduk CPS adalah antara yang menerima bantuan bencana banjir dari KKMM yang diserahkan oleh Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek semalam.
Beliau berkata pihaknya amat berbesar hati dengan sumbangan diberikan yang secara langsung menunjukkan keprihatinan pihak kementerian terhadap nasib menimpa kakitangannya dan menjadi penyuntik semangat untuk mereka bangkit semula.
Sementara itu, beberapa penduduk Padang Jawa yang turut terjejas akibat bencana sama memaklumkan kepada Bernama bahawa bantuan wang tunai seperti inisiatif Bantuan Wang Ihsan (BWI) akan dimanfaatkan oleh mereka untuk menampung sebahagian kos pembelian keperluan rumah seperti perabot dan peralatan elektrik.
Khairul Mohd Jaafar, 45, berkata pihaknya setakat ini belum lagi menerima bantuan BWI dan bantuan kewangan kerajaan negeri.
"Ramai perlukan wang tunai untuk berbelanja, sebagai contoh perabot dan barang elektrik di rumah saya rosak sepenuhnya termasuk tilam dan pintu rumah kayu juga sudah tidak boleh ditutup kerana kembang akibat banjir," katanya.
Selain itu seorang peniaga air, Mohd Nor Rashid, 43, berkata keluarganya memerlukan bantuan wang tersebut bagi membeli keperluan rumah termasuk tikar getah dan dapur memasak baharu.
"Alhamdulillah kami bersyukur jika itu dapat ringankan bebanan kami. Saya berniaga air dan barang-barang perniagaan saya semuanya rosak kecuali mesin tebu dan dengan bantuan kewangan itu nanti bolehlah saya memulakan hidup kembali," katanya.
-- BERNAMA