Mangsa banjir kilat di Yan terima bantuan keperluan asas

Astro Awani
September 2, 2021 19:07 MYT
Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Petron Wilayah Utara menggerakkan misi bantuan meringankan beban mangsa banjir kilat akibat tragedi kepala air di Yan, Kedah.
YAN: Demi meringankan beban mangsa banjir kilat akibat tragedi kepala air di Yan, Kedah, Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Petron Wilayah Utara menggerakkan misi bantuan dengan hasil sumbangan dibahagikan kepada dua peringkat.
Menurut wakil Pengusaha Stesen Minyak Petron Wilayah Utara, Haruni Md Hassan, inisiatif tersebut bermula dengan program fasa pertama yang telah dilaksanakan pada 26 Ogos lalu di mana sebanyak 70 keluarga sekitar Merbok, Kedah.
Beliau berkata, mangsa banjir kilat menerima sumbangan berupa barangan makanan dan keperluan dapur seperti beras, minyak masak, gula, garam, sardin, susu krimer, rempah ratus, kicap, sos dan air mineral.
“Untuk program fasa kedua pada hari ini, sekitar 200 keluarga di sekitar Yan menerima sumbangan merangkumi pemberian keseluruhan barangan termasuk 100 unit dapur gas dua burner.
"Tidak ketinggalan 100 keping baucar LPG Gasul, 30 unit pek barangan keperluan dapur, 10 karton air mineral dan 400 helai t-shirt Petron,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Tambah Haruni, meskipun turut terkesan dengan pandemik COVID-19, para pengusaha stesen minyak Petron di Wilayah Utara yang terdiri dari Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis itu telah bersatu-padu untuk menjayakan program tersebut.
BACA: Banjir Yan: RM1 juta diperuntuk baik pulih bekalan air penduduk - Exco
“Bersama kita lebih teguh. Terima kasih kepada Petron Malaysia atas sokongan dalam menjayakan program ini.
“Menariknya, sebelum ini Petron telah banyak menganjurkan program CSR dan kami menyambung usaha ini dengan program “Petron Bantu Yan,” ujarnya lagi.
Melalui kempen ‘Petron Bantu Yan’ pihak pengusaha berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM 21,450 dalam tempoh 10 hari, yang merupakan hasil sumbangan daripada pengusaha-pengusaha stesen minyak Petron Wilayah Utara.
Pada 18 Ogos lalu, lebih 10 buah kampung di kaki Gunung Jerai selain banyak taman perumahan di sekitar bandar Yan, Gurun dan Merbok dilanda banjir kilat akibat hujan lebat dan fenomena kepala air yang berlaku.
BACA: Bencana: Kepala air landa kaki Gunung Jerai, akibatkan kerosakan, banyak kawasan banjir
#banjir #mangsa banjir #mati lemas #Kedah #kepala air #Titi Hayun #gunung jerai
;