Mangsa banjir Kemaman dinasihat tidak pulang ke rumah meski cuaca baik

Bernama
November 20, 2024 16:00 MYT
Kemaman adalah daerah pertama dan terburuk dilanda gelombang pertama banjir Monsun Timur Laut di Terengganu. -Gambar fail
CHUKAI: Mangsa banjir di daerah Kemaman dinasihatkan untuk tidak pulang ke rumah masing-masing meskipun keadaan cuaca baik setakat tengah hari ini dan banjir mulai surut.

Ringkasan AI
  • Mangsa banjir di Kemaman dinasihatkan untuk tidak pulang ke rumah walaupun cuaca baik dan banjir mulai surut, kerana hujan lebat dijangka berterusan sehingga 23 atau 26 November dan fenomena air pasang besar boleh menyebabkan banjir semula.
  • PPS Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong dibuka untuk menampung lebihan mangsa banjir dari PPS Darul Iman Training Centre, dengan 2,066 mangsa daripada 505 keluarga ditempatkan di kedua-dua PPS.
  • Kemaman adalah daerah pertama dan terburuk dilanda gelombang pertama banjir Monsun Timur Laut di Terengganu, dengan 2,620 mangsa daripada keseluruhan 2,831 mangsa di lima daerah terjejas setakat 2 petang tadi.

Pegawai Daerah Kemaman Fadli Yusof Zakaria bagaimanapun mengingatkan mereka yang telah berbuat demikian untuk terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
"Kita tidak boleh jangka waktu sebenar banjir yang kemudian ini akan berlaku. Kalau boleh kita nak elakkan perpindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada waktu malam, selain untuk memudahkan kerja pasukan penyelamat.
"Kalau ikut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hujan lebat berterusan akan berlaku sehingga 23 Nov atau 26 Nov ini.
"Dan kita juga risau dengan fenomena air pasang besar ketika ini. Kita takut akan banjir lagi dan berlaku pemindahan semula," katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong di sini hari ini.
Menerusi tinjauan Bernama di PPS berkenaan, tiada mangsa yang berada di situ tengah hari ini dan difahamkan mereka telah pulang ke rumah masing-masing untuk membersihkan kediaman sebagai mengambil peluang cuaca yang agak baik hari ini.
PPS berkenaan difahamkan dibuka petang semalam bagi menampung lebihan mangsa banjir di PPS Darul Iman Training Centre (DITC) dan kedua-dua PPS itu menempatkan seramai 2,066 mangsa daripada 505 keluarga sehingga tengah malam tadi dengan kebanyakan mereka dari perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong.
Kemaman merupakan daerah pertama dan terburuk dilanda gelombang pertama banjir susulan Monsun Timur Laut tahun ini di Terengganu dengan data setakat 2 petang tadi mencatatkan seramai 2,620 mangsa daripada keseluruhan 2,831 mangsa di lima daerah terjejas.
-- BERNAMA
#air pasang besar #banjir #Kemaman #pusat pemindahan
;