Mangsa banjir Kelantan meningkat kepada 130 orang

Bernama
November 20, 2014 14:40 MYT
Mangsa banjir Kelantan meningkat kepada 130 orang
Jumlah mangsa banjir di tiga pusat pemindahan di sini dan Pasir Puteh meningkat kepada 130 orang malam ini berbanding 49 orang petang tadi.
Menurut portal rasmi kerajaan negeri, seramai 77 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Mulong dan 28 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tiong di daerah ini, manakala 25 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja, Pasir Puteh.
Sementara itu, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas mencatatkan bacaan 9.11 meter yang melepasi paras bahaya 9 meter.
Sungai-sungai lain masih belum mencecah paras amaran dan tiada jalan utama ditutup berikutan banjir.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim, ketika melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Tiong di sini, menasihatkan mereka yang terlibat dengan banjir supaya tidak meninggalkan barang berharga di dalam rumah bagi mengelak kejadian pecah rumah.
Beliau menasihatkan penduduk supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dan berpindah segera bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Turut sama dalam lawatan itu ialah Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Rohaimi Md Isa dan Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Azli Mohd Noor.
#banjir #Kelantan