Mangsa banjir Kelantan mencecah 1,000 orang, 24 PPS dibuka

Muhafandi Muhamad
Disember 19, 2020 07:45 MYT
Hujan diramalkan berlaku di kesemua kawasan di negeri ini sehingga malam ini. - Astro AWANI
KOTA BHARU: Mangsa banjir yang dipindahkan di negeri ini terus meningkat kepada 1,000 orang membabitkan 296 keluarga yang ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini.
Daerah Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dipindahkan, iaitu 603 orang yang ditempatkan di 10 PPS.
Ia diikuti Kuala Krai, yang mencatatkan 226 orang mangsa banjir, Tanah Merah dengan 158 orang dan Gua Musang (13 orang).
Dua batang sungai utama, Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Sungai Golok di Rantau Panjang terus mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya.
Hujan diramalkan berlaku di kesemua kawasan di negeri ini sehingga malam ini.
Stesyen penyukat hujan di pedalaman Kelantan, di Gunung Gagau Satu, turut merekodkan hujan yang tinggi, diikuti kawasan Kuala Krai.
#Gua Musang #PPS #Kuala Krai #Pasir Mas #banjir #mangsa #mangsa banjir #pusat pemindahan #Sungai #Sungai Kelantan #Sungai Golok #Rantau Panjang #hujan
;