Mangsa banjir Kedah menurun, PPS di Kubang Pasu ditutup

Bernama
Oktober 31, 2022 17:01 MYT
Satu PPS di Kubang Pasu ditutup sepenuhnya pada 1.15 tengah hari. - Gambar hiasan
ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah menurun kepada 75 orang setakat 2 petang berbanding 95 orang yang dicatatkan pagi tadi.
Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata penurunan itu susulan satu PPS di Kubang Pasu ditutup sepenuhnya pada 1.15 tengah hari.
"PPS yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai sejak 26 Okt lepas itu ditutup sepenuhnya selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas kerja pembersihan selesai dilakukan.
"Hanya ada satu PPS lagi yang masih beroperasi di daerah Kota Setar sejak dibuka Jumaat lalu iaitu di SK Suka Menanti yang menempatkan 75 orang daripada 25 keluarga," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, keadaan cuaca di Kota Setar ketika ini hujan, bagaimanapun paras air di ketiga-tiga sungai di daerah itu, Sungai Anak bukit di Taman Aman, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya masih berada pada paras normal.
-- BERNAMA
#banjir kedah #Kubang Pasu #info banjir terkini #Kedah
;