Mangsa banjir Johor hampir 4,000, Muar daerah baharu terjejas

Siti Nur Aqilla Omar
Januari 25, 2023 13:10 MYT
Keadaan Sungai Mengkibol, Kluang yang berada pada paras tinggi berdekatan Kampung Palembang Baru yang memaksa 400 penduduk kampung dipindahkan ke PPS SMK Seri Perdana. - Foto Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di Johor terus menunjukkan peningkatan dengan Muar menjadi daerah baru dilanda banjir, menjadikan enam daerah di negeri itu berdepan banjir ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, seramai 3,967 mangsa banjir daripada 1,104 keluarga ditempatkan di 41 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seluruh negeri itu.
Katanya daerah Muar membuka dua PPS yang baru terjejas banjir menempatkan mangsa banjir yang masih dikemas kini jumlahnya.
"Segamat terus mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai dengan 1,417 mangsa banjir daripada 399 keluarga daripada 16 PPS. Sebelum ini PPS di Segamat ialah 13 PPS.
"Diikuti jumlah mangsa banjir di Kluang, seramai 1,191 mangsa banjir daripada 341 keluarga ditempatkan di 11 PPS.
"Kota Tinggi menempatkan 568 mangsa banjir daripada 138 keluarga di 6 PPS.
"Manakala Mersing pula menempatkan 640 mangsa banjir daripada 194 keluarga di 4 PPS," katanya.
#banjir johor #Muar #mangsa banjir meningkat #JPBN
;