Mangsa banjir dua daerah di Perak menurun kepada 114 orang

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 10, 2024 22:45 MYT
Berdasarkan ramalan MetMalaysia, cuaca di daerah Hulu Perak pada Ahad dilaporkan baik, kecuali ribut dijangka berlaku pada sebelah petang. - Foto Facebook/Viral Perak
IPOH: Jumlah mangsa banjir di dua daerah di Perak menurun kepada 114 orang daripada 38 keluarga pada tengah malam Sabtu, berbanding 123 daripada 41 keluarga di sebelah tengahari.
Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Perak, seramai 105 orang daripada 36 keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) susulan penempatan mereka terkesan banjir yang berlaku di daerah Hulu Perak.
Katanya, dua PPS itu ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Basia Lama yang menempatkan 64 mangsa dari 21 keluarga dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gerik menempat 41 mangsa dari 15 keluarga.
“Mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan MPTI Desa Aman di Teluk Intan pula berkurangan kepada sembilan orang daripada dua keluarga, berbanding 22 orang daripada empat keluarga pada 12 tengahari Sabtu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan awal pagi Ahad.
Banjir melanda tiga kampung di Gerik iaitu Kampung Bandariang, Kampung Sira Panas dan Kampung Padang susulan hujan lebat berterusan sejak petang Jumaat hingga larut malam.
Dalam masa sama, di Hilir Perak banjir melibatkan Lorong 9, Taman Muhibah Teluk Intan.
Sementara itu, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca di daerah Hulu Perak pada Ahad dilaporkan baik, kecuali ribut dijangka berlaku pada sebelah petang.
Di Daerah Hilir Perak pula MetMalaysia meramalkan hujan akan berlaku pada sebelah pagi dan ribut pada sebelah petang.
#banjir #mangsa #MetMalaysia #hujan lebat