Mangsa banjir dipindahkan di Kedah kekal 241 orang

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 30, 2021 10:41 MYT
APM masih melakukan pemantauan di kawasan terjejas banjir untuk memastikan keselamatan penduduk yang tidak berpindah. - Foto ihsan APM
PENDANG: Trend hujan lebat pada sebelah petang dan malam mengakibatkan rumah mangsa banjir masih digenangi air.
Keadaan itu mengakibatkan mangsa banjir masih tidak dapat kembali ke rumah dan jumlah mangsa banjir di negeri masih kekal seramai 241 orang dari 64 keluarga yang ditempatkan di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua daerah.
Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, setakat jam 8 pagi hari ini, empat PPS di Baling dan satu PPS di Pendang masih aktif.
“Jumlah mangsa banjir di Baling adalah seramai 102 orang dari 29 keluarga manakala mangsa di Pendang seramai 139 dari 35 keluarga.
"Empat PPS di Baling iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pari, SK Siong, SK Titi Gantung dan Banggol Derom dibuka sejak semalam berikutan paras air meningkat akibat hujan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Manakala di Pendang adalah PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah dibuka sejak 24 Oktober lalu berikutan paras air Sungai Pendang meningkat menyebabkan lima mukim ditenggelami air.
Mohd Muaz berkata, pihaknya masih melakukan pemantauan di kawasan terjejas banjir untuk memastikan keselamatan penduduk yang tidak berpindah.
#banjir #mangsa #PPS #hujan lebat
;