Mangsa banjir di tiga pusat pemindahan banjir Sabah meningkat

Bernama
Januari 22, 2017 11:29 MYT
Hujan lebat tidak berhenti-henti di Kota Marudu dan Pitas pada empat hari lalu menyebabkan beberapa rumah dan jalan utama ditenggelami air. - Foto Bernama
Bilangan mangsa banjir di tiga pusat pemindahan di tiga daerah di Sabah meningkat kepada 420 orang daripada 100 keluarga sehingga 9.30 pagi ini, berbanding 331 malam tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah Kol Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata 346 mangsa daripada 82 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Taritipan di daerah Kota Marudu.
Tiga puluh sembilan mangsa daripada 11 keluarga di daerah kecil Paitan dalam daerah Beluran pula ditempatkan di Dewan Kampung Binsulung dan 35 mangsa daripada tujuh keluarga dari daerah Pitas ditempatkan di pusat pemindahan banjir Dewan SK Salimpodon.
Mulliadi yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata paras air Sungai Bongon dan Sungai Bandau di Kota Marudu, kira-kira 131 kilometer (km) dari sini masih seperti semalam iaitu masing-masing 7.42 meter (m) dan 6.90m, pada paras amaran.
Bagaimanapun paras air Sungai Kebatasan dan Sungai Bengkoka di Pitas, kira-kira 180km dari sini, masing-masing mencatatkan 6.45m dan 4.23m, kedua-duanya pada paras bahaya.
-- BERNAMA
#banjir sabah #Beluran #Kota Marudu #mansa banjir #pusat pemindahan
;