Mangsa banjir di Terengganu teruja bertemu PM
Astro Awani
Disember 22, 2020 16:39 MYT
Disember 22, 2020 16:39 MYT
CHUKAI: Kehadiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, Kemaman menceriakan lebih 400 mangsa banjir yang dipindahkan ke lokasi tersebut.
Mereka juga teruja selepas dimaklumkan pemimpin nombor satu negara itu akan menyantuni mangsa banjir di PPS itu.
Bagi pasangan warga emas Zalikur Omar, 63, dan suaminya Shafie Mohamad, 65, mereka tidak menyangka Perdana Menteri sudi menjenguk mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS berkenaan.
Jelas mereka, walaupun Perdana Menteri sibuk dengan pelbagai urusan namun tetap meluangkan masa dan cakna dengan nasib menimpa rakyat.
Mengakui rasa teruja berjumpa dengan Perdana Menteri, Zalikur berkata, keletihannya yang terpaksa berpindah kerana rumahnya di Kampung Tanjung, Bukit Mentok dinaiki air terubat apabila berjumpa dengan pemimpin utama negara itu.
"Sangat berbesar hati bila tahu Perdana Menteri datang ke sini, rasa gembira tak terkira, tak sangka semalam ada orang bagi tahu PM nak datang, rasa gembira.
"Dulu Najib pun ada datang ke sini tetapi itu sudah lama, sudah nak masuk enam tahun," katanya kepada Astro AWANI.
Bagi Shafie yang mencari rezeki sebagai nelayan, perasaan gembira dapat bertemu Muhyiddin sukar digambarkan.
Katanya, sebelum ini Muhyiddin pernah ke PPS tersebut ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.
"Saya dipindahkan ke PPS ini sejak dua hari yang lalu dan semalam ada yang maklumkan Perdana Menteri akan datang ke sini.
"Seingat saya ketika beliau jadi Timbalan Perdana Menteri enam tahun lepas, beliau pernah datang dengan helikopter, tahun 2014 dulu.
"Sekarang bila jadi Perdana Menteri, beliau datang lagi sekali ke PPS ini, rasa sangat gembira," katanya.
Sementara itu ada yang sanggup menunggu lebih satu jam di PPS Bukit Mentok semata-mata mahu melihat sendiri wajah pemimpin nombor satu negara itu.
Biar pun dia bukanlah mangsa banjir, tetapi warga emas berusia 77 tahun, Muda Awang ingin melihat dari dekat sosok Perdana Menteri.
Katanya, sebelum ini dia hanya melihat Perdana Menteri menerusi kaca televisyen namun selepas mengetahui Muhyiddin akan ke sekolah Bukit Mentok, dia mengambil peluang untuk melihatnya dari dekat.
"Rasa bangga dapat tegok perdana menteri secara dekat, nak ucap terima kasih kepada Perdana Menteri yang datang ke sini.
"Memang gembira sebab sebelum ini setiap hari tengok di televisyen sahaja," katanya.
Terdahulu, perdana menteri tiba di Terengganu bagi melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Bukit Mentok, Kemaman.
Muhyiddin meluangkan masa kira-kira sejam untuk bertanya khabar dan beramah mesra dengan mangsa yang dipindahkan ke PPS tersebut.
#Muhyiddin Yassin
#banjir
#Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok
#Banjir pantai timur
#Zalikur Omar
#Shafie Mohamad