Mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 11,517 orang

Nur Fazlizai Ali
Mac 3, 2022 01:55 MYT
Mangsa banjir di Terengganu mula membersihkan rumah yang dinaiki air selepas dibenarkan pulang. - Astro AWANI
HULU TERENGGANU: Bilangan mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 11,517 orang dan hanya enam daerah masih lagi terjejas.
Ia susulan mangsa banjir yang dipindahkan di daerah Marang dan Besut mula pulang ke kediaman masing-masing pada Selasa dan Rabu.
Menerusi jumlah itu sebanyak 2,961 orang masih berlindung di 50 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan daerah Kemaman, Hulu Terengganu, Dungun, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu seramai 4,967 mangsa masih terjejas di daerah Kemaman sekaligus merekodkan jumlah mangsa tertinggi setakat jam 8 pagi ini.
Diikuti daerah Hulu Terengganu dengan 1,140 keluarga melibatkan 4,554 mangsa masih ditempatkan di 18 buah PPS.
Manakala jumlah mangsa di daerah Dungun juga menunjukkan penurunan di mana sehingga kini seramai 1,478 mangsa masih berada di 16 PPS berbanding lebih 2,000 mangsa yang terjejas pada Rabu.
Di Kuala Terengganu seramai 237 mangsa membabitkan 50 keluarga masih lagi berada di tiga PPS.
Sementara itu empat PPS masih dibuka di Kuala Nerus bagi menempatkan seramai 274 mangsa daripada 77 keluarga.
Manakala mangsa di Setiu juga menurun apabila hanya satu keluarga membabitkan tujuh mangsa ditempatkan di satu PPS.
Ketika ini, keadaan cuaca bertambah baik di kebanyakan kawasan di negeri itu.
#banjir #mangsa #pulang #PPS