Mangsa banjir di Terengganu meningkat

Astro Awani
November 24, 2020 06:52 MYT
Penduduk mula berpindah selepas rumah mereka dinaiki air di Taman Murni Permai, Tok Jembal malam tadi. Gambar BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu kini meningkat kepada 247 orang berbanding 192 mangsa pada sebelah pagi tadi.
Banjir di negeri itu yang sudah memasuki gelombang kedua turut menyaksikan empat daerah terjejas di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Dungun dan Setiu.
Setakat pukul 1 tengah hari ini, sejumlah tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan 64 keluarga.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, daerah Kuala Nerus masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 122 mangsa.
Katanya, sebanyak 28 keluarga itu ditempatkan di PPS Sekolah Tok Jembal dan Balai Raya Alor Damat.
Mangsa daerah Dungun pula kata beliau, turut bertambah kepada 43 orang berbanding 22 mangsa pada pagi Selasa.
Menurut Che Adam, sebanyak dua pusat pemindahan juga telah dibuka di Dewan Sivik Seberang Pintasan dan Sekolah Kebangsaan Tok Kah bagi menempatkan 11 keluarga yang terjejas dengan banjir itu.
Sejumlah 57 lagi mangsa di Setiu pula telah ditempatkan di dua PPS di daerah itu manakala 15 keluarga lagi telah dipindahkan ke Masjid Merbau menyusut dan PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Langkap.
Sementara itu, seramai 25 mangsa melibatkan 10 keluarga masih ditempatkan Sekolah Kebangsaan Chendering di sini.
BACA: Ibu mengandung 34 minggu, warga emas nekad redah banjir
#terengganu #Kuala Nerus #banjir #sekolah #mangsa banjir #Pusat Pemindahan Sementara #Sekolah Tok Jembal #Balai Raya Alor Damat #Masjid Merbau #PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Langkap