Mangsa banjir di Selangor, Johor menyusut, meningkat di Pahang
Bernama
Januari 30, 2017 12:37 MYT
Januari 30, 2017 12:37 MYT
Bilangan mangsa banjir di Johor dan Selangor menyusut pagi ini namun meningkat di Pahang, dan kekal sama di Perak.
Sejumlah 7,943 mangsa banjir ditempatkan di 116 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 9 pagi ini berbanding 7,874 pada malam tadi.
Di Pahang, bilangan mangsa banjir meningkat kepada 5,595 orang daripada 1,503 keluarga di 80 PPS di daerah terjejas berbanding 5,460 daripada 1,454 keluarga malam tadi.
Daerah Temerloh mencatat jumlah mangsa paling ramai iaitu 2,202 orang, disusuli Pekan (1,108), Maran (928), Bera (782), Jerantut (403), Lipis (90) dan Rompin (82).
Banjir di Johor semakin pulih dengan bilangan mangsa menyusut kepada 1,820 orang berbanding 1,880 pada 8 malam tadi.
Merangkumi 510 keluarga, mereka ditempatkan di 28 PPS di Segamat yang mempunyai 1,141 mangsa, Tangkak (269) dan Muar (410).
Di Selangor, 92 mangsa banjir masih ditempatkan di tiga PPS di Sabak Bernam berbanding 98 pada malam tadi.
Di Perak, bilangan mangsa kekal 436 orang berbanding malam tadi, dan mereka mendapatkan perlindungan di lima PPS di Hilir Perak, Manjung, Larut, Matang dan Selama.
-- BERNAMA