Mangsa banjir di Sarawak meningkat berikutan fenomena air pasang besar
Astro Awani
Februari 10, 2016 10:10 MYT
Februari 10, 2016 10:10 MYT
Fenomena air pasang besar lewat petang Selasa dan awal Rabu mengakibatkan beberapa tempat di daerah Kuching, Bau dan Serian terus dinaiki air dan jumlah penduduk terutama yang tinggal berhampiran Sungai Sarawak di sini yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir malam tadi, terus melonjak dengan ketara.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim berkata sehingga pukul 8 pagi ini jumlah penduduk yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir di daerah berkenaan melonjak kepada 5,578 orang pagi ini daripada 3,230 orang malam tadi.
Beliau berkata ketika ini terdapat 21 pusat pemindahan banjir yang dibuka di daerah Kuching, manakala lima lagi di daerah Bau dan dua di daerah Serian.
Bagaimanapun menurutnya pagi ini air di Sungai Sarawak kelihatan sudah mulai surut, dengan kebanyakan kawasan yang dinaiki air sejak malam tadi masih digenangi air yang bertakung, dan akan mengambil sedikit masa untuk surut sepenuhnya.
Semalam antara tempat yang menyaksikan pemindahan ramai penduduk berhampiran kawasan bandaraya Kuching adalah sekitar Batu Kitang, Kampung Bintawa, Kampung Panglima Seman, Batu Kawa, Tupong Jaya, dan Kampung Pulo.
Walaupun hujan renyai-renyai sekali sekala di kebanyakan tempat di Sarawak sejak kebelakangan ini dilihat semakin berkurangan, namun fenomena air pasang besar ketika ini mengakibatkan keadaan banjir di daerah berkenaan mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.
Agensi yang terbabit seperti JPAM, bomba, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan pejabat residen terus diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sepanjang masa sejak beberapa hari lepas.