Mangsa banjir di Sabah terus meningkat

Sinar Harian
Januari 27, 2023 10:10 MYT
Keadaan salah sebuah rumah yang dinaiki air di Tawau. - Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Mangsa banjir di Sabah terus meningkat dengan jumlah terkini penduduk yang dipindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) ialah seramai 6,843 orang setakat jam 8 pagi, Jumaat.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, jumlah itu membabitkan 2,412 ketua isi rumah (KIR) yang dipindahkan ke 29 PPS di lima daerah.
Daerah Paitan terdapat peningkatan iaitu seramai 720 mangsa dipindahkan ke sembilan PPS, manakala Pitas seramai 1,201 mangsa dipindahkan ke lima PPS.
Sementara itu, Kota Marudu kekal mencatat jumlah mangsa yang tinggi dipindahkan iaitu seramai 4,789 orang melibatkan 12 PPS, Tawau (109 mangsa di satu PPS) dan Telupid (24 mangsa di dua PPS).
Media pada Khamis melaporkan banjir di Sabah semakin buruk dengan 6,453 mangsa dipindahkan ke PPS setakat jam 4 petang. - Sinar Harian
#banjir #mangsa #PPS #Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah
;