Mangsa banjir di Sabah meningkat, Sarawak menurun

Bernama
Februari 7, 2025 21:57 MYT
Di Sabah, jumlah mangsa banjir meningkat lagi kepada 700 daripada 190 keluarga, berbanding 663 daripada 178 keluarga petang tadi. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sabah yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat, manakala Sarawak mencatatkan penurunan setakat 8 malam ini.
Di Sabah, jumlah mangsa banjir meningkat lagi kepada 700 daripada 190 keluarga, berbanding 663 daripada 178 keluarga petang tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, seramai 275 orang (83 keluarga) ditempatkan di PPS Beaufort, 276 orang (70 keluarga) di dua PPS daerah Kinabatangan, 137 orang (33 keluarga) di dua PPS daerah Keningau serta 13 orang daripada empat keluarga di Tambunan.
Di Sarawak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak melaporkan jumlah mangsa terus menurun kepada 4,065 orang berbanding 4,389 orang petang tadi, dengan 21 PPS masih kekal beroperasi.
"Bilangan mangsa banjir di bahagian Bintulu menurun kepada 1,873 orang di lima PPS berbanding 1,907 orang sebelum ini, manakala di Sibu juga berkurangan kepada 1,114 orang di enam PPS berbanding 1,160 orang petang tadi.
"Tujuh PPS di Miri juga mencatatkan penurunan jumlah mangsa kepada 452 orang berbanding 694 orang, termasuk di Bahagian Mukah yang menurun kepada 613 orang berbanding 615 orang di empat PPS, sementara di Bahagian Sarikei kekal dengan 13 orang mangsa di sebuah PPS," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#mangsa banjir #PPS #kekal beroperasi #bencana
;