Mangsa banjir di Rantau Panjang meningkat, enam PPS dibuka

Astro Awani
November 12, 2022 07:21 MYT
Seorang penduduk kelihatan termenung di dalam rumahnya berikutan banjir di Rantau Panjang akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lepas ketika tinjauan di Kampung Pengkalan Pauh semalam. --fotoBERNAMA
RANTAU PANJANG: Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di sini terus meningkat tengah malam tadi kepada seramai 951 orang melibatkan 311 keluarga.
Enam PPS dibuka di daerah ini termasuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh yang menempatkan seramai 668 mangsa yang terjejas banjir.
Paras air Sungai Golok terus mencatatkan peningkatan melepasi bacaan paras bahaya iaitu 9.95 meter sehingga tengah malam tadi.
Mangsa yang berlindung di PPS SK Gual Tok Deh berkata, banjir di kampung mereka merupakan yang kedua berlaku tahun ini.
Selain itu, beberapa kampung lain berhampiran Sungai Golok turut dinaiki air.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengambil langkah proaktif dengan memindahkan mangsa banjir lebih awal.
Menurut Pengarahnya Zainal Madasin, pihaknya turut menugaskan anggota dan pegawainya di kawasan hotspot banjir bagi memastikan mangsa berpindah sebelum keadaan menjadi serius.
Tindakan itu diambil berdasarkan pengalaman banjir luar biasa yang melanda kawasan ini pada Februari lalu apabila ramai mangsa banjir terperangkap kerana menganggap air yang meningkat naik pada kadar biasa.
IKUTI SEGALA MAKLUMAT TENTANG BANJIR DI SINI
Bagaimanapun, selepas rumah mereka tenggelam, mereka terpaksa menyelamatkan diri dengan berlindung di atas bumbung rumah dan sebagainya sebelum diselamatkan pihak berkuasa.
"Apa yang kita nampak di sini, apabila nampak air meningkat di Gua Musang, Kuala Krai contohnya, kita sedia di lokasi.
"Kita nasihatkan orang ramai, wajib pindah. Kita tak boleh biarkan mereka tunggu, sebab kita ada banyak lagi tugasan lain.
"Kita minta mereka pindah dulu, utamakan keselamatan dengan pergi ke PPS," katanya.
Tambahnya, walaupun penduduk kawasan ini berpengalaman berdepan banjir saban tahun, namun perubahan cuaca kini sukar dijangka.
Zainal pada masa sama turut menasihati parti yang berkempen supaya menjaga keselamatan dan memberi keutamaan kepada pasukan keselamatan memindahkan mangsa banjir ke tempat selamat.
#Rantau Panjang #Sungai Golok #PPS #banjir
;