Mangsa banjir di PPS tak perlu bimbang keselamatan rumah, harta benda - Saifuddin
Bernama
Disember 21, 2022 12:01 MYT
Disember 21, 2022 12:01 MYT
PUTRAJAYA: Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) tidak perlu bimbang tentang kediaman masing-masing kerana polis telah dikerahkan untuk memastikan keselamatan rumah dan harta benda mereka, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata omnipresent atau keberadaan pasukan polis sementara mangsa berada di PPS telah diarahkan hasil perbincangan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
"Mereka (mangsa) tak perlu bimbang tentang keselamatan tempat tinggal sekiranya berlaku air surut dan masih belum dapat balik rumah kerana kehadiran pasukan polis dikerahkan.
"Itu sentiasa dalam jaminan perkhidmatan pasukan polis," katanya dalam sidang media selepas pelancaran misi bantuan ke Pantai Timur peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Saifuddin berkata mangsa banjir juga tidak perlu risau tentang kehilangan dokumen pengenalan diri kerana komitmen telah diberikan oleh setiap jabatan untuk membantu mereka mendapatkan dokumen ganti dengan segera dan tanpa caj.
Dalam pada itu beliau berkata misi bantuan hari ini akan ke Machang dan Tanah Merah yang teruk dilanda bencana itu dengan membawa 1,000 bakul makanan.
Beliau berkata kerjasama kementerian bersama Yayasan Food Bank Malaysia itu adalah misi permulaan yang akan disusuli dengan bantuan kemanusiaan lain khususnya di Pantai Timur.
Saifuddin berkata kerjasama itu menggabungkan keupayaan logistik KDN dengan kekuatan sukarelawan Yayasan Food Bank yang mengumpul makanan daripada 70 rakan strategik.
Sementara itu, katanya setakat ini hanya Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang terkesan banjir iaitu laluan terputus untuk anggota bertugas, namun akses negara jiran ke Kelantan tidak terjejas.
-- BERNAMA