Mangsa banjir di Perak tinggal 8 orang di PPS

Abd Razak Mohd Ali
Mac 26, 2023 18:15 MYT
Hanya PPS DOR Kampung Sungai Baru sahaja yang masih menempatkan lapan mangsa daripada dua keluarga. - Gambar hiasan
IPOH: Cuaca baik sejak awal pagi menyaksikan situasi banjir di Daerah Larut Matang Selama (LMS) semakin pulih, dengan tiga daripada empat pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup hari ini.
Dengan penutupan itu, jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di PPS turut berkurangan kepada lapan orang daripada dua keluarga, berbanding 176 orang daripada 46 keluarga pada sebelah pagi.
Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah LMS, berkata PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang ditutup pada 12.10 tengah hari.
"PPS itu menempatkan 30 mangsa dari Taman Mawar dan Kampung Jelapang Jaya.
"PPS di SK Bukit Jana yang menempatkan 88 mangsa dari Kampung Sungai Relong dan Kampung Baru Batu 5 pula ditutup jam 1.20 petang.
"PPS di Dewan Orang Ramai (DOR) Simpang Halt yang menempatkan 46 mangsa dari 12 keluarga ditutup jam 5 petang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, dengan penutupan itu, hanya PPS DOR Kampung Sungai Baru sahaja yang masih menempatkan lapan mangsa daripada dua keluarga.
#banjir #Perak #mangsa banjir #Pulih
;