Mangsa banjir di Perak menurun, dua PPS ditutup

Aida Aziz
September 22, 2023 16:43 MYT
Jumlah mangsa banjir kilat di Perak dipaor meningkat pagi tadi dengan 129 mangsa daripada 48 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu di daerah Taiping, Selama dan Batang Padang. - Gambar fail/ APM
IPOH: Jumlah mangsa banjir di Perak mencatatkan penurunan pada petang Jumaat dengan 38 mangsa daripada 16 keluarga di Batang Padang ditempatkan di satu pusat pemindahan banjir (PPS).
Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Perak dalam satu kenyataan memberitahu, dua daripada tiga PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Halt, Taiping dan Sekolah Kebangsaan Sungai Jernih, Selama ditutup pada jam 12.30 tengah hari tadi.
Katanya lagi, hanya satu PPS di Balai Raya Kampung Klah, Batang Padang masih dibuka sehingga jam 2 petang tadi.
"Sebelum ini terdapat tiga daerah yang terjejas akibat banjir iaitu di Taiping, Selama dan Batang Padang, namun ia berkurang kepada satu sahaja.
"Jumlah mangsa pula daripada 123 kepada 38 orang sahaja buat masa sekarang dan hanya terdapat satu PPS yang masih beroperasi," katanya pada Jumaat.
Terdahulu media melaporkan, jumlah mangsa banjir kilat di Perak meningkat pagi ini dengan 129 mangsa daripada 48 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu di daerah Taiping, Selama dan Batang Padang.
Ribut diramal berlaku pada sebelah petang di beberapa daerah antaranya Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak dan Batang Padang manakala hujan diramalkan melanda beberapa daerah antaranya Kampar, Hulu Perak dan Kerian.
#banjir Perak #PPS #mangsa banjir #bilangan mangsa
;