Mangsa banjir di Perak meningkat pagi ini

Bernama
November 1, 2023 01:20 MYT
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Hilir Perak meninjau kawasan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir. - Foto BERNAMA
IPOH: Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada 329 orang daripada 94 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 316 orang daripada 90 keluarga semalam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kerian dan Hilir Perak.
Menurut jawatankuasa itu di Kerian, 90 orang daripada 22 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 56 orang daripada 18 keluarga berlindung di PPS SK Alor Pongsu, manakala di Hilir Perak, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak menempatkan 183 penduduk daripada 84 keluarga.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong menurun, namun masih berada pada paras bahaya apabila merekodkan ketinggian 4.09 meter berbanding paras normal iaitu dua meter.
-- BERNAMA
#banjir #mangsa #PPS #JBPN