Mangsa banjir di Perak kekal, 102 di empat PPS
Aida Aziz
November 18, 2023 10:35 MYT
November 18, 2023 10:35 MYT
IPOH: Jumlah mangsa banjir di tiga daerah negeri ini tidak berubah dengan 102 mangsa daripada 29 keluarga masih ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah pada Sabtu, banjir di daerah Hilir Perak, Kerian dan Kinta mencatatkan jumlah kekal sama seperti tengah malam tadi.
Katanya, sehingga kini empat PPS yang dibuka ialah Dewan Serbaguna Padang Tembak (18 mangsa daripada lima keluarga).
Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak (18 mangsa daripada tiga keluarga), Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu (57 mangsa daripada 19 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Taman Meru 2A Ipoh (sembilan mangsa daripada dua keluarga).
Sementara itu katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan di beberapa kawasan di Perak seperti Hulu Perak dan Kuala Kangsar.