Mangsa banjir di Perak dan Pahang meningkat, Melaka dan Kedah berkurang

Bernama
Oktober 16, 2024 18:15 MYT
Anggota JBPM mendukung kanak-kanak mangsa banjir ketika operasi rondaan dan memindahkan mangsa banjir yang dijalankan bersama PDRM berikutan paras air semakin naik di Kampung Batu Kapor, Mentakab hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Perak dan Pahang meningkat sedikit manakala di Melaka dan Kedah berkurang dengan 3,950 orang ditempatkan di 30 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri setakat 4 petang ini.
Di PERAK, laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan Kampar menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dan sebuah PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Baharu.
Ini menjadikan 1,170 mangsa dari enam daerah dipindahkan ke 10 PPS iaitu meningkat sedikit berbanding 1,114 orang dari Perak Tengah, Kerian, Kuala Kangsar, Muallim serta Hilir Perak di lapan PPS pagi tadi.
Menurut laman web rasmi Public Info Banjir paras air di Sungai Bidor di Hilir Perak melebihi tahap bahaya manakala Sungai Kampar dan Sungai Rui di Hilir Perak melebihi tahap amaran dan Sungai Perak di Perak Tengah pula melebihi tahap waspada.
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di Temerloh juga meningkat kepada 1,667 orang berbanding 1,552 orang pagi tadi dengan dua PPS baharu dibuka menjadikan sembilan PPS sedang beroperasi ketika ini, sementara paras air di Sungai Semantan di daerah itu dilaporkan melebihi tahap amaran.
Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin berkurang kepada 31 orang yang sedang berlindung di SK Seri Mendapat berbanding 187 orang pagi tadi dengan dua PPS ditutup.
Di KEDAH, jumlah mangsa berkurang kepada 999 orang dari tiga daerah iaitu Baling, Kota Setar, Pendang yang ditempatkan di tujuh PPS berbanding 1,477 mangsa dari empat daerah ditempatkan di 11 PPS pagi tadi.
Paras air di dua sungai melebihi tahap bahaya iaitu Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Taman Aman di Kota Setar manakala Sungai Kedah di daerah sama melebihi tahap amaran dan Sungai Ketil di Baling pula melebihi tahap waspada.
Di JOHOR, mangsa banjir di daerah Batu Pahat kekal 17 orang yang sedang berlindung di PPS SK Seri Bunut sejak pagi tadi.
Paras air di Sungai Lenik melebihi tahap amaran manakala Sungai Sembrong dan Empangan Sembrong mencatatkan paras air melebihi tahap waspada.
Di SELANGOR, jumlah mangsa turut kekal 66 orang dari daerah Hulu Selangor dan Hulu Langat yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Alah Batu dan SK Sungai Serai.
Paras air di Sungai Bernam di daerah Hulu Selangor turut dilaporkan melebihi tahap bahaya.
-- BERNAMA
#banjir #mangsa banjir #pusat pemindahan #Pahang #Perak
;