Mangsa banjir di daerah ini, yang membeli Polisi Insurans Kampungku tahun lepas, bakal menerima pampasan sebanyak RM1,000 daripada Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pampasan itu akan dibayar dalam tempoh 96 jam selepas taksiran dibuat oleh syarikat insurans berkenaan.

Beliau berkata syarikat itu menawarkan polisi berkenaan pada Disember tahun lalu dengan hanya membayar RM50 sahaja.

"Kita dapati pihak insurans telah datang untuk membuat taksiran mangsa banjir kali ini...mereka akan dibayar sebanyak RM1,000 dalam tempoh 96 jam," katanya kepada pemberita semasa melawat 43 keluarga melibatkan 196 mangsa banjir di Pusat Pemindahan banjir di Felda Seberang Tayor, Air Puteh dekat sini, hari
ini.

Menurutnya pembelian polisi insurans adalah pendekatan yang memberi kelegaaan kepada mangsa banjir berbanding konsep lama yang mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan bagi mendapatkan bantuan RM500.

Sehingga kini, kira-kira 6,000 penduduk di Kemaman telah membeli insurans itu sebagai persediaan menghadapi kerugian semasa banjir, katanya.

Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata bagi pampasan petani, syarikat insurans perlu mengambil masa lebih lama untuk mengira kerugian keseluruhan.

"Konsep insurans adalah lebih efisyen jika diperkenalkan kepada petani...jika berlaku bencana, ia akan diuruskan oleh syarikat insurans terbabit.

"Ini merupakan pendekatan yang ingin kita perkenalkan dengan lebih meluas...kita sedang usahakan supaya petani turut dilindungi insurans semasa musim kemarau, membaja dan tanaman dilanda penyakit," katanya.

Ahmad Shabery berkata kementerian juga sedang berusaha menyediakan skim insurans untuk petani bagi membolehkan mereka menuntut pampasan sepenuhnya bagi keseluruhan tanaman padi yang musnah akibat banjir.

Pada masa ini, kerajaan memberi bantuan RM1,800 bagi sehektar tanaman padi yang musnah akibat banjir tetapi petani hanya dibayar pada had maksimum sehingga tiga hektar sahaja.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta dalam membuat persediaan banjir.