Mangsa banjir di Kelantan dan Pahang makin meningkat
Sinar Harian
Disember 25, 2023 19:23 MYT
Disember 25, 2023 19:23 MYT
KOTA BHARU: Banjir di Kelantan dan Pahang semakin buruk apabila masing-masing mencatatkan mangsa seramai 6,851 orang dan 523 orang pada Isnin.
Antara daerah yang terjejas di Kelantan ialah Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang.
Tiga batang sungai iaitu Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai, Kuala Besar (Kota Bharu) dan Sungai Golok (Rantau Panjang) melepasi tahap bacaan bahaya.
Taburan hujan di beberapa jajahan masih lagi lebat dan jika berterusan lebih ramai penduduk yang akan terjejas.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 52 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka yang menempatkan 2,084 keluarga.
"Jajahan Pasir Mas menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 4,031 orang diikuti, Tanah Merah (1,265), Kuala Krai (876), Machang (155), Jeli (255) dan Gua Musang (239)," katanya.
Di Pahang mangsa banjir tersebut melibatkan 124 buah keluarga yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Raub dan dua lagi di Lipis.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga jam 4.38 petang, Rumah Pertanian Kampung Pamah Rawas menempatkan jumlah mangsa tertinggi di Raub iaitu 107 orang.
Selain itu, tujuh lagi PPS di daerah sama iaitu di Surau Kampung Peruas, Balai Raya Kampung Pamah Kulat dan Dewan Lechar masing-masing menempatkan 65 mangsa.
Di Dewan Orang Ramai Bukit Pampong pula menempatkan 51 mangsa, Balai Raya Kampung Pamah Rawas (20), Balai Raya Kampung Kuala Keloi(14) dan dua mangsa di Dewan Dato Seriwa Dong.
Di Lipis pula, Dewan Serbaguna Dato Omar Kuala Medang menempatkan 113 mangsa dan 21 mangsa di Dewan Orang Ramai Kuala Serau.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#banjir pahang
#banjir kelantan
#Pasir Mas
#Sungai Golok
#Gua Musang
#Sungai Kelantan
#pusat pemindahan
#PPS
#Rantau Panjang
#Tanah Merah