Mangsa banjir di Kelantan cecah 8,838 orang, Rantau Panjang hampir lumpuh
Sinar Harian
November 27, 2024 16:20 MYT
November 27, 2024 16:20 MYT
KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan kini mencecah 8,838 orang setakat jam 2.43 petang selepas sembilan daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang, serta Jeli dilanda musibah berkenaan.
Ringkasan AI
- Mangsa banjir di Kelantan kini mencecah 8,838 orang, dengan sembilan daerah terjejas termasuk Kota Bharu, Pasir Mas, dan Tumpat.
- Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
- Pekan Rantau Panjang hampir lumpuh kerana laluan utama masuk ke kawasan itu ditenggelami banjir, hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat.
Daripada jumlah itu, Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) paling ramai iaitu 1,634 orang, manakala Kota Bharu (1,561) diikuti Pasir Puteh (1,386).
Sementara itu, Pekan Rantau Panjang yang terkenal dengan lokasi membeli-belah hampir lumpuh selepas laluan utama masuk ke kawasan itu ditenggelami banjir.
Hal ini kerana laluan masuk ke kawasan tersebut hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat sahaja.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, setakat jam 1 tengah hari kenderaan berat masih boleh masuk ke kawasan di Rantau Panjang.
"Bagaimanapun, saya akan memantau balik situasi dan perkembangan semasa keadaan di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Terdahulu tular satu status yang dimuat naik pengendali laman sosial Facebook menulis Rantau Panjang lumpuh, aras air 10.59 meter melebih aras bahaya 8 meter.
Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff berkata, situasi banjir di negeri ini masih lagi terkawal.
Beliau menasihati penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya berpindah awal sekiranya rumah mereka ditenggelami banjir.
Menurutnya, situasi itu akan memberi kesukaran kepada pasukan penyelamat untuk memindahkan mereka yang terlibat ke PPS sekiranya air mulai deras dan dalam. -Sinar Harian