Mangsa banjir di Kedah trauma, bimbang air pasang besar sebabkan bah besar berulang
Adie Sufian Zulkefli
November 3, 2021 17:31 MYT
November 3, 2021 17:31 MYT
ALOR SETAR: Fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku esok sehingga 7 November membuatkan kebanyakan mangsa banjir di Kedah bimbang rumah mereka akan ditenggelami air seterusnya menanggung kerugian lebih serius.
Rata-rata mereka yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin risau apabila hujan lebat kerap berlaku, mengingatkan mereka kepada banjir besar pada 2010.
Norhaslina Harun, 40, berkata dia yang kini berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar berkata, banjir di rumahnya di Kampung Tanjung Inggeris, Langgar belum surut sejak tiga hari lalu.
Katanya, dia yang tinggal bersama ibunya, Fatimah Awang, 79, yang tidak dapat berjalan kerana uzur tidak sempat berbuat apa-apa kerana air naik begitu cepat.
"Terakhir saya macam ni 2010. Selepas 11 tahun, saya risau sangat banjir besar yang macam dulu berulang kembali. Cuaca pun nampak kerap hujan sekarang, banjir di kawasan rumah pun belum surut lagi ditambah pula air pasang besar esok," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Seorang lagi mangsa banjir, Norkiah Suib, berkata banyak barang berharga tidak sempat diselamatkan ketika banjir melanda rumahnya beberapa hari lalu.
"Habis semua perabot rosak disebabkan banjir, tak sempat nak pindahkan ke tempat tinggi. Masa tinggalkan rumah untuk ke PPS, kami hanya dapat selamatkan barang dan dokumen penting saja.
"Benda-benda lain yang sempat dialihkan kami letak atas tangga. Yang lain ada juga barang yang kami ikat pada tangga seperti peti ais.
"Kalau banjir lagi teruk berlaku disebabkan air pasang besar ini, kami tawakkal sahajalah, kami tak mampu nak buat apa dah," katanya.
Mohd Saleh Abu Bakar pula berkata, berdasarkan pengalaman pada 2020, banjir disebabkan air pasang besar berlaku dengan pantas apabila ban di kawasan berhampiran rumahnya pecah.
"Dengan musim macam ini kami kena lebih berhati-hati lagilah, mungkin kalau ikut daripada ramalan cuaca itu (air pasang besar), kami berwaspadalah jika banjir semakin buruk," katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Langgar, Mohd Fatin Ibrahim berkata, setakat ini 80 mangsa dari 23 keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar selepas rumah mereka dinaiki air.
Katanya, ia membabitkan penduduk Kampung Alor Setoi, Kampung Makam Diraja, Alor Jawi dan Kampung Tanjung Inggeris.
Jelasnya, fenomena air pasang besar disertai hujan lebat akan menyebabkan aliran air Sungai Langgar di kawasan itu bertembung dengan air laut yang parasnya sudah menjadi semakin tinggi seterusnya menyebabkan banjir.
Mohd Fatin berkata, pihaknya bersama pelbagai agensi lain sudah bersedia untuk membuka PPS baharu di situ sekiranya mangsa banjir bertambah di mukim berkenaan.
"Kita telah mengambil beberapa langkah berjaga-jaga, antaranya penyediaan PPS, bagaimanapun sekiranya berlaku kekurangan tempat di PPS kita telah sediakan satu lagi pusat pemindahan di SK Langgar," katanya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali, dilapor berkata, fenomena air pasang besar dijangka melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor selama empat hari mulai 4 November.
Katanya, fenomena tersebut akan menjadi lebih buruk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.
Di Kedah, kawasan yang dijangka terjejas adalah Kuala Muda, namun semua penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran pesisir pantai dinasihatkan supaya berwaspada.