Mangsa banjir di Kedah terus meningkat, 2,039 orang di PPS

Adie Sufian Zulkefli
September 17, 2024 00:27 MYT
Jumlah mangsa banjir di Kedah terus catat peningkatan apabila seramai 2,039 orang daripada 341 keluarga kini terpaksa dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS) pada Selasa. - Foto ihsan bomba
ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus catat peningkatan apabila seramai 2,039 orang daripada 341 keluarga kini terpaksa dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS) pada Selasa.
Pertambahan itu direkodkan pada jam 11 malam tadi berbanding jumlah yang dilaporkan pada 8 malam iaitu seramai 1,018 mangsa.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, jumlah mangsa banjir dijangka meningkat berikutan hujan yang melanda hari ini.
“Setakat ini enam daerah terjejas dan dijangka akan ada lagi PPS akan dibuka sekiranya hujan berterusan sehingga awal pagi esok.
“JKM akan terus memastikan semua mangsa yang ditempatkan di semua PPS mendapat makanan serta barangan keperluan seperti selimut dan bantal mencukupi dan keselesaan berada di PPS,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sementara itu, anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena dan Kuala Nerang terus melakukan operasi pemindahan mangsa di Kampung Derang yang dinaiki air.
Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, kesemua mangsa dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Derang di Pokok Sena.
#banjir kedah #mangsa banjir #PPS #meningkat
;