Mangsa banjir di Kedah menurun, masih ramai di PPS kerana banjir termenung

Khalis Khadir
September 24, 2024 13:28 MYT
Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,596 orang membabitkan 1,497 keluarga dengan 19 PPS dibuka manakala Pendang merekodkan 1,606 mangsa daripada 490 keluarga di 10 PPS. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kedah menunjukkan sedikit penurunan kepada 6,593 orang membabitkan 2,116 keluarga setakat jam 12 tengah hari Selasa berbanding 6,804 mangsa jam 11 pagi tadi.
Kesemua mereka ditempatkan di 33 pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu masih jumlah PPS sama membabitkan empat daerah terjejas di Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu dan Pokok Sena.
Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,596 orang membabitkan 1,497 keluarga dengan 19 PPS dibuka manakala Pendang merekodkan 1,606 mangsa daripada 490 keluarga di 10 PPS.
Di Kubang Pasu pula seramai 324 mangsa daripada 101 keluarga dengan tiga PPS dibuka manakala 67 mangsa daripada 28 keluarga di Pokok Sena ditempatkan di satu PPS.
Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan peningkatan jumlah pada awal pagi tadi berikutan kebanyakan mangsa tidak dapat pulang ke rumah masing-masing susulan keadaan banjir termenung.
Di Perak, laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 29 orang membabitkan tujuh keluarga dengan satu PPS dibuka di Kerian.
#mangsa banjir #Kedah #Perak #Info Bencana JKM
;