Mangsa banjir di Kedah meningkat, Perak menurun setakat malam ini

Bernama
November 16, 2023 22:17 MYT
Jumlah mangsa banjir di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu di Kedah meningkat manakala di Perak menunjukkan penurunan pada malam ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu di Kedah meningkat manakala di Perak menunjukkan penurunan pada malam ini.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 253 mangsa daripada 83 keluarga malam ini berbanding 231 mangsa daripada 74 keluarga, pagi tadi.
Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata empat PPS itu ialah tiga di daerah Kota Setar dan satu di daerah Kubang Pasu.
"Di Kota Setar, seramai 105 mangsa daripada 34 keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah; 88 mangsa daripada 31 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah manakala SK Taman Aman menempatkan 20 mangsa daripada 10 keluarga.
"Antara kawasan yang terjejas adalah Kampung Seberang Chegar, Kampung Alor Gunung, Kampung Pulau Kerengga, Kampung Alor Senjaya, Kampung Alor Perang, Kampung Bohor, Kampung Anak Bukit, Kampung Alor Gunong dan Kampung Seberang Alor Gunong," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, di daerah Kubang Pasu, jumlah mangsa yang ditempatkan di SK Malau yang dibuka sejak Isnin lalu bertambah kepada 40 orang daripada lapan keluarga.
"PPS itu dibuka akibat banjir di beberapa kawasan antaranya Kampung Lahar, Kampung Paya Tok Keong, Kampung Paya Tok Teh dan Kampung Biak," katanya.
Sementara itu, di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa di empat PPS terus menyusut malam ini kepada 114 orang daripada 33 keluarga berbanding 178 orang daripada 52 keluarga pagi tadi.
Empat PPS masih beroperasi melibatkan satu di Hilir Perak iaitu Dewan Serbaguna Padang Tembak dengan mangsa semakin berkurangan iaitu 25 orang daripada lapan keluarga manakala dua di Kerian iaitu SK Changkat Lobak masih kekal 23 mangsa daripada empat keluarga dan SK Alor Pongsu juga kekal 57 orang daripada 19 keluarga.
Sekretariat itu memaklumkan di daerah Kinta pula, sembilan orang daripada dua keluarga dari Taman Meru 2C masih ditempatkan di Dewan Orang Ramai Taman Meru 2A.
-- BERNAMA
#mangsa #banjir #PPS #Kedah #Perak
;