Mangsa banjir di Kedah catat pengurangan

Adie Sufian Zulkefli
November 17, 2023 01:56 MYT
Setakat ini, jumlah mangsa banjir di daerah Kota Setar menunjukkan penurunan iaitu seramai 213 mangsa daripada 74 keluarga di tiga PPS. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah berkurangan kepada 249 mangsa daripada 81 keluarga di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah setakat jam 8 pagi, hari ini.
Angka itu berkurangan berbanding 253 mangsa daripada 83 keluarga di dua daerah yang dilaporkan pada jam 8 malam tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, setakat ini jumlah mangsa banjir di daerah Kota Setar menunjukkan penurunan iaitu seramai 213 mangsa daripada 74 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di daerah itu.
Beliau berkata, tiga PPS terbabit adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah dan SK Taman Aman.
"Di PPS di daerah Kubang Pasu iaitu di SK Malau pula masih mencatatkan jumlah seramai 36 mangsa daripada tujuh keluarga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, laman web Public Infobanjir melaporkan, dua sungai di negeri masih mencatatkan paras bahaya setakat jam 8 pagi ini.
Antara sungai terbabit adalah Sungai Anak Bukit di Taman Aman di daerah Kota Setar dan Sungai Bata di Kampung Bata di daerah Kubang Pasu.
Selain itu, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di daerah Kota Setar dan Sungai Pendang di Pekan Pendang mencatatkan melebihi paras amaran.
#PPS #banjir #Kedah #mangsa banjir