Mangsa banjir di Kedah berkurangan, Perak kekal pagi ini

Bernama
September 24, 2024 09:45 MYT
Daerah Kota Setar merekodkan jumlah mangsa tertinggi di PPS iaitu 4,638 orang, diikuti Pendang (1,606), Kubang Pasu (493) dan Pokok Sena sebanyak 67 orang. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir direkodkan di Kedah dan Perak adalah sebanyak 6,833 orang, yang masih berlindung di 34 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini berbanding 7,210 orang malam tadi.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 6,804 orang daripada 2,173 keluarga berbanding 7,181 orang malam tadi yang ditempatkan di 33 PPS di empat daerah terjejas.
Kota Setar masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,638 orang diikuti Pendang (1,606), Kubang Pasu (493) dan Pokok Sena sebanyak 67 orang.
Laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan hanya Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu melebihi tahap bahaya dengan paras air setinggi 22.12 meter (m).
Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 29 orang daripada tujuh keluarga dan ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, Kerian.
Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Perak di Teluk Sena berada pada tahap bahaya dengan paras air 13.20m.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan pagi ini memaklumkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Langkawi, Kulim dan Bandar Baharu, Kedah, Pulau Pinang, Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Manjung, Perak serta Melaka hingga 11 pagi ini.
-- BERNAMA
#mangsa banjir #PPS #banjir kedah #banjir Perak
;