Mangsa banjir di Kedah berkurangan kepada 888 orang

Bernama
September 26, 2024 17:00 MYT
Kesemua mangsa terdiri daripada 252 keluarga itu masih ditempatkan di 11 PPS di Pendang dan Pokok Sena. - Gambar fail/Bernama
ALOR SETAR: Tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Setar ditutup secara berperingkat hari ini sekali gus menjadikan jumlah mangsa banjir di Kedah berkurangan kepada 888 orang setakat 4 petang ini berbanding 1,885 orang, pagi tadi.
Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa terdiri daripada 252 keluarga itu masih ditempatkan di 11 PPS di Pendang dan Pokok Sena.
Di Pendang, 857 orang daripada 240 keluarga berada di 10 PPS iaitu Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang, SMK Tanah Merah, SMK Tunku Temenggung, SMK Ayer Puteh Dalam, Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Ibrahim, SK Tanah Merah, SK Haji Mohamad Ariff, SK Ayer Puteh dan Sekolah Model Khas Bukit Jenun.
Di Pokok Sena, 31 orang daripada 12 keluarga ditempatkan di PPS SK Tualang.
Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat 4 petang, paras air Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar mencatat 1.53 meter melebihi tahap waspada 1.5 meter.
-- BERNAMA
#banjir kedah #PPS #mangsa banjir berkurang #pusat pemindahan #Kota Setar
;