Mangsa banjir di Johor meningkat mendadak kepada 3,835 orang pagi ini

Bernama
Disember 15, 2019 09:32 MYT
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca buruk di beberapa kawasan di Johor, termasuk di Kluang. Foto ihsan JBPM/APM
Hujan lebat berterusan sejak dua hari lepas telah menyaksikan jumlah mangsa banjir di Johor mengalami peningkatan mendadak kepada 3,835 orang melibatkan 1,054 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 2,853 orang daripada 770 keluarga yang direkodkan malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata hujan lebat yang berterusan menyebabkan sebuah lagi daerah iaitu Batu Pahat turut dilanda banjir, menjadikan keseluruhan daerah yang terjejas meningkat kepada tujuh.
Bagaimanapun, satu pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kluang iaitu Balai Raya Kampung Melayu Batu Empat Paloh ditutup sepenuhnya pada 9 malam tadi.
Menurutnya kesemua mangsa yang terjejas ditempatkan di 52 PPS iaitu 13 di Kota Tinggi, 10 di Mersing, 20 di Kluang, enam di Segamat dan masing-masing satu di Kulai, Muar dan Batu Pahat.
"Daerah Mersing mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 1,262 orang daripada 352 keluarga diikuti Kota Tinggi dengan 1,071 orang daripada 267 keluarga," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.
Selain itu, di Kota Tinggi empat jalan yang terjejas masih tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan iaitu Jalan Batu 18, Jalan Ladang Pasir Logok-Ladang Bukit Berkelompok dan Jalan Ladang Bukit Payong dan Jalan Kampung Mawai Lama.
Menurut beliau, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca bahaya (merah) di daerah Mersing dan Kota Tinggi manakala, amaran cuaca buruk pula di Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru, serta amaran waspada di Tangkak sehingga hari ini.
-- BERNAMA
#amaran #banjir #Batu Pahat #cuaca bahaya #cuaca buruk #hujan lebat #Johor #Kluang #mangsa banjir #Meteorologi Malaysia #Muar #PPS #pusat pemindahan #Segamat #Tan Chen Choon #waspada
;