Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 114 orang
Bernama
Oktober 4, 2022 13:59 MYT
Oktober 4, 2022 13:59 MYT
JOHOR BAHRU: Mangsa banjir kilat di Johor meningkat sedikit setakat pukul 12 tengah hari ini kepada 114 orang berbanding 113 mangsa yang dicatatkan 8 malam tadi membabitkan daerah Pontian dan Kluang.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan hari ini memaklumkan terdapat mangsa baharu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Pontian pagi tadi.
Menurutnya, seramai 39 mangsa dari Kampung Sri Gambut, Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Raya dan Kampung Sri Menanti berlindung di PPS SK Melayu Raya, Pontian.
"Di Kluang pula, dua PPS masih dibuka iaitu di SK Sri Kampung Renggam melibatkan 33 mangsa dari Kampung Tengah Renggam dan sebuah lagi PPS di SK Sungai Linau, menempatkan 42 mangsa dari Kampung Sungai Linau," menurut JPBD.
Banjir kilat di negeri itu berlaku disebabkan hujan lebat melebihi dua jam sejak 10 pagi Ahad lepas.
-- BERNAMA