Mangsa banjir di Johor berkurang pagi ini

Siti Nur Aqilla Omar
Januari 13, 2024 01:30 MYT
Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai, namun menunjukkan trend menurun. - Foto fail/BERNAMA
JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di Johor terus berkurang kepada 4,982 orang membabitkan 1,390 keluarga pagi ini, berbanding 5,018 orang daripada 1,399 keluarga pada malam tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, semua mangsa banjir itu ditempatkan di 34 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah terjejas.
Katanya, Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai, namun menunjukkan trend menurun.
"Di 23 PPS daerah Kota Tinggi kini menempatkan seramai 3,773 orang membabitkan 1,037 keluarga.
"Turut mencatatkan pengurangan ialah jumlah mangsa banjir di Batu Pahat iaitu daripada 74 orang (20 keluarga) malam tadi, kepada 70 orang (19 keluarga) pagi ini yang berada di satu PPS," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Jelas Azmi, hanya Mersing terus mencatatkan penambahan mangsa banjir iaitu daripada 595 orang (180 keluarga) malam tadi kepada 620 orang (187 keluarga) pagi ini yang ditempatkan di empat PPS.
"Jumlah mangsa banjir di Johor Bahru, Kluang dan Segamat pula tidak berubah.
Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor, Jalan Tanah Abang di Mersing serta dua kawasan di Lingkaran Kahang Barat dekat Kluang masih terjejas dengan banjir selepas dinaiki air dan masih ditutup bagi laluan semua jenis kenderaan.
#monsun timur laut #banjir #mangsa #PPS