Mangsa banjir di Beaufort, Membakut terima bantuan tunai RM1,300 - Hajiji
Bernama
Mac 11, 2025 15:15 MYT
Mac 11, 2025 15:15 MYT
Hajiji bersama Shamsul Iskandar ketika melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara Dewan Sri Panglima Mohd Dewan Undangan Negeri (DUN) Banir hari ini. - Foto Bernama
BEAUFORT: Setiap keluarga mangsa banjir di Beaufort dan Membakut menerima bantuan tunai kecemasan berjumlah RM1,300 daripada kerajaan Persekutuan dan Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Ringkasan AI
- Setiap keluarga mangsa banjir di Beaufort dan Membakut menerima bantuan tunai RM1,300 daripada kerajaan Persekutuan dan Sabah.
- Sebanyak 4,530 mangsa banjir berlindung di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah, dengan jumlah tertinggi di Beaufort dan Membakut.
- Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, melawat kawasan terjejas dan mengarahkan pembersihan saluran air untuk mengurangkan banjir.
Beliau berkata daripada jumlah itu, RM1,000 diperuntukkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) manakala RM300 lagi daripada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).
"Selain bantuan tunai, setiap keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan menerima bantuan makanan," katanya dalam kenyataan selepas melawat PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di sini hari ini, yang menempatkan 412 mangsa terdiri daripada 147 keluarga.
Ketua Menteri juga melawat PPS Dewan Kesenian Islam, Membakut yang kini menempatkan 836 mangsa daripada 278 keluarga untuk memberikan bantuan sama kepada mangsa banjir.
Turut hadir mengiringi Hajiji ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong dan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Jumlah mangsa banjir yang berlindung di 29 PPS di Sabah kekal tidak berubah dengan 4,530 orang daripada 1,488 keluarga setakat tengah hari ini melibatkan empat daerah.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (JPBN) berkata jumlah mangsa banjir tertinggi adalah di Beaufort, dengan tujuh PPS menempatkan 1,719 orang daripada 556 keluarga, manakala di Membakut, 914 orang daripada 312 keluarga berada di lima PPS.
Hajiji berkata beliau ke kawasan terjejas untuk bertemu dengan mangsa serta melihat sendiri keadaan di sana, dengan beliau memberi jaminan kepada mangsa banjir yang kerajaan memahami kesulitan dialami mereka.
Ketua Menteri juga melawat sekitar pekan Beaufort yang masih dilanda banjir dan diberi taklimat oleh Pegawai Daerah Mohd Nazri Ajun.
Semasa lawatannya, Hajiji telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membersihkan semua saluran air, khususnya longkang, bagi mengurangkan banjir pada musim hujan ini.
-- BERNAMA