Mangsa banjir di Batu Pahat menurun kepada 13,872 orang malam ini

Bernama
Mac 19, 2023 12:28 MYT
Adik-beradik ini tekun belajar menerusi modul Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada hari pertama sesi persekolahan 2023 hari ini di hadapan rumah mereka di Parit Karjo, Batu Pahat yang masih ditenggelami banjir. - Bernama
JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Batu Pahat berkurangan kepada 13,872 orang setakat 8 malam ini berbanding 15,907 yang direkodkan pada 4 petang tadi susulan penutupan sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) selepas air banjir surut.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan penutupan itu menjadikan jumlah PPS yang masih beroperasi setakat ini ialah 59 yang menempatkan 3,985 keluarga.
Menurut JPBN, tiga PPS yang menempatkan jumlah mangsa tertinggi ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pt Yaani, Parit Raja (678 orang) diikuti Dewan Parit Senah, Sri Medan (671) dan Sekolah Kebangsaan Seri Aman (552).
Tiga kawasan masih berada di tahap amaran iaitu Empangan Bekok di Sungai Bekok (19.08 meter), Empangan Sembrong di Sungai Sembrong (11.23 meter) dan Sungai Senggarang di Senggarang (3.32 meter).
Keadaan cuaca diramalkan cerah di enam daerah malam ini kecuali Johor Bahru, Muar dan Segamat yang dijangka mendung manakala Batu Pahat diramalkan hujan.
-- BERNAMA
#mangsa banjir #banjir johor #Batu Pahat #JBPN