Mangsa banjir di Batu Pahat 419 orang pagi ini

Bernama
Mac 24, 2023 09:15 MYT
Lima PPS masih beroperasi di Batu Pahat, menempatkan 419 orang daripada 113 keluarga setakat pagi ini. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di Batu Pahat menurun kepada 419 orang setakat 8 pagi berbanding 439 orang pada 8 malam tadi, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
JPBN menerusi kenyataan memaklumkan lima pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi dengan menempatkan 113 keluarga.
Lima PPS itu ialah Sekolah Kebangsaan Seri Medan yang menempatkan 209 orang; Sekolah Agama (SA) Seri Bertam (enam orang); Dewan Orang Ramai Yong Peng (129 orang); Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Hua Min (21 orang) dan SA Seri Comel (54 orang).
JPBN turut memaklumkan Sungai Bekok di Empangan Bekok masih berada di paras amaran dengan bacaan 19.00 meter, manakala cuaca di kesemua 10 daerah dilaporkan cerah pada pagi ini.
-- BERNAMA
#Batu Pahat #PPS #banjir #cuaca
;