Mangsa banjir di Baling dinasihat tidak pulang
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 3, 2022 19:03 MYT
Ogos 3, 2022 19:03 MYT
BALING: Mangsa banjir di Baling dinasihatkan agar tidak pulang ke rumah masing-masing buat ketika ini berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan masih turun sepanjang hari.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, langkah ini diambil kerana bimbang tahap keselamatan dan risiko yang dihadapi penduduk sekiranya hujan lebat turun pada sebelah malam dan air memasuki kediaman mereka menyukarkan kerja pemindahan mangsa.
Katanya, mengikut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hujan dijangka turun pada lewat petang berlarutan dalam tempoh dua hari ini dan dibimbangi berlaku banjir kilat.
Malah penduduk juga diminta menyimpan dokumen penting dan segera berpindah sekiranya melihat paras air Sungai Baling mula meningkat dan melimpah memasuki kediaman mereka.
"Tidak perlu menunggu bantuan daripada pihak berkuasa kerana terperangkap dalam rumah ini amat menyukarkan kerja-kerja menyelamat kerana dengan arus yang deras, air yang dalam, agak sukar untuk kita menggerakkan pasukan penyelamat untuk menyelamat mangsa-mangsa banjir apabila berlaku kejadian air yang deras," katanya.
Terdahulu Shamsudin meninjau keadaan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Tun Abdul Razak, di sini hari ini.
Sementara itu, mangsa banjir Zanariah Samsudin, 51, dari Kampung Batu 7 Rambong berkata, kejadian pada lewat petang Selasa berlaku dengan pantas dan air deras memasuki rumahnya.
Katanya, kesan trauma tragedi kepala air dan banjir lumpur yang berlaku di Kampung Iboi masih segar dalam ingatannya kerana jarak kampung mereka terlalu dekat.
"Memang takut lah nak balik tapi rasanya tinggal dahulu buat sementara waktu apabila rumah telah siap dicuci dan tengok juga keadaan cuaca jika cuaca masih hujan tidak berani pulang.
"Lepas kejadian di Kampung Iboi tu sebelum ini pun sudah berlaku tetapi tidak seteruk kali ini tetapi bila tengok sama seperti yang berlaku di iboi berkemungkinan akan berlaku di kampung saya sebab kawasan jarak ya tidak jauh memang takut lah," katanya.
Setakat jam 4 petang tadi seramai 31 orang mangsa dari sembilan keluarga dari empat kampung iaitu Kampung Batu Tujuh Rambong, Telok Sanau, Charok Juan dan Bendang Sera beradadi PPS itu.
Tinjauan di Kampung Batu 7 mendapati kerja pembersihan sungai sedang giat dilakukan untuk membuang bongkah dan ranting kayu yang tersekat dibawa arus.
Hujan lebat lebih dua jam bermula jam 5 petang Selasa telah mengakibatkan beberapa kampung di daerah Baling dilanda banjir kilat.