Manfaatkan sektor tenaga baharu, wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan - Yeo Bee Yin

Firdaus Azil
Julai 10, 2019 15:57 MYT
Yeo Bee Yin berkata, adalah penting bagi pembuat dasar serta sektor swasta memikirkan bagaimana untuk memanfaatkan kesan daripada perubahan tenaga negara daripada bahan api fosil dan gas kepada tenaga baharu.
Persediaan Malaysia dalam melakukan anjakan kepada penggunaan tenaga bersih atau mengurangkan emisi karbon adalah melebihi komitmen negara terhadap Perjanjian Paris, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.
Usaha itu, kata beliau, demi mewujudkan ekosistem baharu serta peluang pekerjaan berdasarkan tenaga baharu, sekali gus menyediakan masa depan lebih baik untuk generasi akan datang.
Mengakui ia memerlukan usaha yang berterusan, Bee Yin, yang juga Ahli Parlimen Bakri berkata, adalah penting bagi semua pihak, terutamanya pembuat dasar serta sektor swasta untuk mula memikirkan cara bagaimana untuk memanfaatkan kesan daripada perubahan tenaga negara daripada bahan api fosil dan gas kepada tenaga yang lebih bersih.
“Malaysia komited untuk mengurangkan kadar kepekatan pelepasan karbon pada 45 peratus pada 2030… kini kita pada kadar 30 peratus dan kita pada tahap yang selesa untuk menepati komitmen itu.
“Persoalannya sekarang, bagaimana kita hendak bergerak lebih dari sekadar Perjanjian Paris? Bagaimana Malaysia boleh memanfaatkan trend dekarbonisasi ini untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya di Sidang Meja Bulat Tenaga Malaysia anjuran Forum Ekonomi Dunia (WEF), di sini hari ini.
Sidang meja bulat yang dikendalikan oleh Ketua Tenaga dan Bahan WEF Robert Bocca itu bertemakan – “Shaping the Future of Malaysia’s Energy Landscape”.
Sidang berkenaan turut disertai Presiden Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Datuk Ir Ahmad Fauzi Hasan, dan Ketua Pegawai Strategi dan Pengawalseliaan Tenaga Nasional Berhad, Datuk Fazlur Rahman Zainuddin.
Sementara itu, Bee Yin berkata, kajian menunjukkan tenaga bersih didapati boleh menjana lebih banyak kuasa berbanding bahan api fosil.
Dalam masa sama, peluang pekerjaan dalam industri bahan api fosil pula, jelas Bee Yin, akan berkurangan.
Atas sebab itu, beliau berkata, semua pihak perlu memandang ke hadapan, dan mencari jalan untuk memanfaatkan situasi itu dalam usaha mewujudkan platform supaya pekerjaan baharu yang lebih bercirikan tenaga hijau, serta berpendapatan tinggi dapat dijana untuk generasi akan datang.
#ekonomi #Malaysia #menteri #Paris #Paris Agreement #Perjanjian Paris #Petronas #TNB #Yeo Bee Yin
;