Manfaatkan NFT untuk bakat seni - Tun Mahathir

Astro Awani
Julai 26, 2022 23:20 MYT
Dr Mahathir berkata, penerokaan terhadap teknologi baharu itu akan memastikan masa depan negara berada di tangan generasi yang baik serta berkemampuan. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru karyawan Malaysia memanfaatkan Non-Fungible Token (NFT) bagi mengembangkan karya seni mereka ke seluruh dunia.
Dalam masa sama, bekas Perdana Menteri berkata, penerokaan terhadap teknologi baharu itu akan memastikan masa depan negara berada di tangan generasi yang baik serta berkemampuan.
"Besar harapan saya agar karyawan tempatan dapat mengambil peluang ini untuk meneroka dan merealisasikan potensi mereka, melonjakkan seni dan teknologi negara ini ke peringkat seterusnya.
"Memandangkan semua pencapaian baharu dan penerokaan oleh belia kita ini, saya berharap masa depan negara kita berada di tangan yang baik dan berkemampuan.
"Sekadar peringatan kecil, apa sahaja perubahan dan pembangunan yang anda ingin beri kesan
kepada masyarakat, jangan berkompromi dengan nilai-nilai murni yang malar hijau tidak kira
berapa banyak revolusi industri telah dilalui," katanya semasa berucap melancarkan Galeri Maya Metaverse, Legasi Tun Mahathir di sini pada Selasa.
Dalam pada itu kata Dr Mahathir, pandemik COVID-19 selama dua tahun memaksa masyarakat untuk menyesuaikan diri dan mengamalkan cara baharu berbanding kelazimannya.
Beliau mengakui mungkin ada pihak yang merasakan perkara baharu yang dilakukan mungkin bukan sesuatu yang sihat untuk masyarakat.
Namun, cara baharu itu sebenarnya merapatkan hubungan yang jauh dengan membolehkan mereka berinteraksi dan berkomunikasi dengan lebih dekat.
"Cara baharu membolehkan kita berinteraksi dan berkomunikasi hampir rapat dengan orang yang kita sayang yang tinggal jauh dari kita... dan cara baharu ini semuanya didorong oleh teknologi," ujarnya.
#Mahathir Mohamad #NFT #Malaysia #teknologi baharu
;