Manfaatkan momentum untuk yakinkan golongan waswas - Pakar

Bernama
Julai 22, 2021 12:21 MYT
Semua pihak berkepentingan harus mengambil peluang daripada momentum semasa untuk meyakinkan mereka yang waswas tentang keselamatan vaksin dengan menekankan kepentingan vaksinasi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bermula perlahan, namun kini program vaksinasi Malaysia semakin rancak sehingga mampu mencapai dan melepasi sasaran harian, khususnya pada minggu-minggu kebelakangan ini, sekali gus meletakkan negara ini sebagai antara yang mempunyai kadar pemvaksinan terpantas.
Di sebalik pencapaian itu, ada hakikat yang perlu ditelan, iaitu masih ada kelompok yang belum divaksinasi disebabkan kekangan akses selain mereka yang keberatan untuk divaksinasi dan kumpulan yang menentang pemvaksinan.
Pelbagai langkah telah dilaksanakan untuk menambah baik akses penduduk kepada vaksin dan berdasarkan petunjuk semasa, negara ini berkemungkinan mencapai sasaran 40 peratus penduduk dewasa lengkap dos vaksin menjelang akhir Ogos. Justeru, yang perlu ditangani kini cuma mereka yang keberatan divaksinasi.
Menurut pakar, cara terbaik untuk menangani kelompok itu ialah dengan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang terhidang sekarang, ketika rata-rata penduduk bersemangat untuk divaksinasi, dengan meyakinkan golongan yang masih berbelah bagi tersebut agar setuju disuntik vaksin.
Suasana sekarang juga amat jauh berbeza dengan keadaan kira-kira dua bulan lalu.
Bekalan awal tidak mencukupi
Pada awal Mei lepas, bekalan vaksin yang diperoleh tidak mencukupi dan secara purata, hanya sekitar 15,000 dos dapat diberikan sehari. Ramai belum diberikan tarikh janji temu sekalipun Fasa Tiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang meliputi semua peringkat usia yang layak, sepatutnya telah bermula.
Kini, bekalan vaksin stabil dengan penghantaran vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca tiba di negara ini dalam selang masa yang tetap.
Pada hari-hari kebelakangan ini, Malaysia menyaksikan pemberian melebihi 400,000 dos sehari dan setakat 15 Julai lalu, negara ini merekodkan pemberian 1.22 dos bagi setiap 100 penduduk, iaitu kedua tertinggi selepas Ecuador bagi kategori Pendapatan Sederhana Tinggi. Menurut Our World in Data, Malaysia merekodkan kadar tertinggi dos yang diberikan dalam tempoh seminggu di rantau Asia Tenggara.
Pada 16 Julai lepas, Malaysia merupakan negara ketiga paling tinggi kadar pemvaksinan, menyusuli Singapura dan Kemboja, dengan 4.3 juta atau 13.2 peratus daripada populasi telah menerima dos lengkap.
Pada masa sama, Malaysia terus menambah baik akses kepada vaksin.
Antara yang dilaksanakan ialah membuka pusat pemberian vaksin (PPV) mega yang mampu mengagihkan vaksin kepada ribuan penerima saban hari di hampir semua negeri, PPV pandu lalu, unit bergerak untuk pusat jagaan warga emas dan perkhidmatan vaksinasi dari rumah ke rumah bagi golongan terlantar serta kurang upaya.
Usaha percepat pemvaksinan
Keputusan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 untuk membenarkan penduduk tidak berdaftar mendapatkan vaksin secara walk-in di semua PPV di Kuala Lumpur dan Selangor - warga emas bermula 17 Julai dan lain-lain usia bermula 1 Ogos - merobohkan satu lagi tembok yang menghalang pemvaksinan.
Pakar perubatan dan kesihatan awam yang menyambut baik keputusan itu, berkata langkah berkenaan akan membantu ramai penduduk yang tidak dapat mendaftar disebabkan tidak tahu cara, tiada akses Internet atau berstatus penduduk tidak sah, menerima suntikan vaksin.
"(Penggunaan) MySejahtera mencetuskan keresahan dalam kalangan warga emas. Ramai yang barangkali tidak mendaftar atas faktor itu kerana mereka sudah terbiasa dengan 'terus datang' untuk dapatkan apa yang mereka mahu," kata Prof Dr Tan Maw Pin, perunding geriatrik di Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM).
Beliau serta beberapa pakar lain yang bersetuju kaedah walk-in amat sesuai bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, menggesa kerajaan agar tidak mengambil masa yang lama untuk memperluas inisiatif itu ke seluruh negara.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin sebelum ini dilaporkan berkata pemvaksinan secara walk-in berkemungkinan dilaksana di seluruh negara selepas semua yang berdaftar untuk vaksinasi telah menerima dos pertama mereka menjelang akhir Ogos ini.
Yakinkan semua pihak
Pakar kesihatan awam Prof Madya Dr Rafdzah Ahmad Zaki daripada Pusat Perubatan UM pula berkata, semua pihak berkepentingan harus mengambil peluang daripada momentum semasa untuk meyakinkan mereka yang waswas tentang keselamatan vaksin dengan menekankan kepentingan vaksinasi.
"Kebanyakan (yang keberatan) merupakan mereka yang berada 'di atas pagar'. Mereka tidak pasti, mereka bukan antivaksin, namun mungkin tidak begitu memahami maklumat yang diterima," katanya.
"Jika kita tidak gunakan peluang yang ada sekarang untuk yakinkan mereka, golongan ini mungkin akan menolak terus vaksinasi," tambahnya.
Di sebalik pencapaian membanggakan dalam aspek vaksinasi, Malaysia mencatat rekod baharu dalam kes harian COVID-19 apabila melaporkan jumlah jangkitan baharu lima angka sejak 13 Julai lalu. Paling membimbangkan, sebahagian jangkitan melibatkan varian baharu yang lebih berbahaya dan mudah berjangkit, menyebabkan langkah-langkah pencegahan sebelum ini seperti kawalan pergerakan, kurang berkesan dalam mengawal penularan.
Dr Tan berkata pemvaksinan ke atas seramai mungkin penduduk secepat mungkin merupakan kunci untuk Malaysia kembali kepada "kebiasaan dahulu", atau setidak-tidaknya menikmati kebebasan yang kini dikekang oleh pandemik itu.
"Ini jelas ditunjukkan di United Kingdom. Sekalipun kes meningkat, jumlah mereka yang memerlukan rawatan di hospital, rawatan rapi dan bantuan pernafasan, akan berkurang.
"Inilah yang amat kita perlukan kerana sistem penjagaan kesihatan kita sekarang semakin tenat," katanya.
-- BERNAMA / Suntingan Noor Hayati Muda
#COVID-19 #vaksin #vaksinasi #rakyat Malaysia #kerajaan #Penduduk #imuniti #PICK #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #pandemik
;