Manfaatkan media baharu untuk perpaduan - Joseph Kurup

Bernama
Januari 20, 2017 07:43 MYT
Kurup menyarankan JPNIN mengambil langkah inovasi dan melaksanakan aktiviti yang melibatkan media sosial dalam meluaskan jaringan kepada golongan yang aktif di media sosial. - Gambar fail
Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) diminta memanfaatkan media baharu untuk menyebarkan maklumat yang tepat dan positif ke arah menggalakkan perpaduan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata media baharu seperti Facebook, Twitter, Instagram dan Whatsapp adalah lebih cepat, berkesan dan menjimatkan masa dan kos dalam penyebaran maklumat.
"Kita harus bijak menggunakan media baharu untuk menyebarkan maklumat-maklumat positif...jangan sibukkan diri dengan penyebaran maklumat atau perkara yang memberikan kesan negatif kepada masyarakat," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan JPNIN di sini, pada Jumaat.
Beliau juga menyarankan JPNIN mengambil langkah inovasi dan melaksanakan aktiviti yang melibatkan media sosial dalam meluaskan jaringan kepada golongan yang aktif di media sosial.
Sementara itu, Kurup berkata JPNIN akan melaksanakan pelan tindakan pemerkasaan Rukun Tetangga tahun ini bagi memantapkan fungsi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan menyemarakkan perpaduan di peringkat umbi.
Beliau berkata usaha itu penting kerana saf kepimpinan Rukun Tetangga boleh menjadi contoh sifat sukarela masyarakat Malaysia dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan setempat terutama untuk perpaduan, keharmonian dan keamanan.
"Kini, sebanyak 7,707 KRT didaftarkan di seluruh negara sehingga penghujung tahun lepas. Ia meningkat sebanyak 262 Rukun Tetangga baru berbanding tahun lepas," katanya.
Pada majlis itu, Kurup turut melancarkan Pelan Strategik 2017-2020 yang merupakan pelan tindakan yang bakal memandu warga kerja JPNIN dalam merancang dan melaksana dasar, program dan aktiviti perpaduan dengan jayanya di setiap peringkat kerja.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPNIN Datuk L.Gandesan berkata JPNIN menjadi contoh kepada negara luar apabila Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan India mempelajari cara dan amalan dalam mengekal dan mempromosi perpaduan negara semasa para pesertanya mengadakan lawatan ke jabatan itu tahun lepas.
"Ini merupakan pengiktirafan pihak luar terhadap jabatan ini," katanya. --Bernama
#Facebook #Instagram #JPNIN #Tan Sri Joseph Kurup #Twitter #WhatsApp
;