Manfaatkan masa PKP ajar anak main gendang Melayu
Adie Sufian Zulkefli
April 20, 2020 10:54 MYT
April 20, 2020 10:54 MYT
'Lain padang, lain belalang, lain orang lain caranya'.
Itu keunikan ditunjukkan pasangan Mohd Khairi Abd Rani, 39, dan Siti Rafiah Razak, 36, yang meluangkan masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengajar empat anak mereka bermain gendang tradisional.
Melihat gelagat anak-anak pasangan ini, Nur Kaseh Danisha, 10; Muhammad Khairil Daim, 8; Nur Kaseh Damia, 5; dan Nur Kaseh Dahlia, 2, bermain alat muzik tradisional sangat menarik perhatian, lebih-lebih lagi dengan lagak dan gaya bersahaja mereka.
Paluan Gendang Ibu, Gendang Anak dan ketukan gong oleh kanak-kanak itu termasuk si cilik berusia dua tahun dilengkapkan tiupan serunai daripada Mohd Khairi, menjadikan masa lapang berada di rumah bersama keluarga sangat bermakna.
Jelas Mohd Khairi, dia mula mengajar anak-anaknya seni muzik tradisional itu pada minggu pertama PKP selepas anak sulungnya menyatakan minat dan memintanya berbuat demikian.
Dalam tempoh singkat, nyata bakat mereka terserlah apabila dapat menguasai kemahiran itu dan tidak kekok untuk mengalun beberapa jenis lagu.
Antara alunan lagu yang dapat dimainkan antaranya termasuk lagu klasik Melayu, Hindustan dan lagu patriotik.
"Waktu PKP ini kami tidak pergi ke mana-mana, duduk di rumah sahaja. Kita main benda inilah, ajar anak-anak main muzik.
"Hendak keluar tidak boleh, hendak pergi mana pun tidak boleh. Ajar anak-anak main lagu boleh hilangkan kebosanan," katanya.
Mohd Khairi yang bermain serunai pada majlis keramaian dan kenduri kahwin mengharapkan bakat yang ada padanya dapat diwariskan kepada anak-anaknya suatu hari nanti.
#gendang
#gendang anak
#gendang ibu
#kemahiran
#keturunan
#muzik tradisional
#PKP
#seruling
#serunai
#tradisional
#Warisan