Manfaatkan konsep wakaf sebagai sistem perlindungan pada usia persaraan - Penganalisis

Irfan Faruqi
Februari 2, 2024 21:40 MYT
Barjoyai berkata wakaf tersebut wajar mencakupi pelbagai keperluan di usia persaraan seperti manfaat perubatan dan kematian. - Foto: UNIRAZAK
KUALA LUMPUR: Konsep wakaf boleh diteliti sebagai gantian kepada skim pencen dalam usaha untuk mengurangkan beban kewangan negara.
Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, wakaf tersebut wajar mencakupi pelbagai keperluan pada usia persaraan seperti manfaat perubatan dan kematian.
“Kita sudah ada satu kaedah yang matang dan sudah diuji iaitu dengan menggunakan konsep wakaf. Ia dipanggil pelaburan abadi. Kalau kita boleh kembangkan konsep wakaf ini dengan dimulakan oleh wakaf harta Kerajaan.
“Kemudian diikuti dengan wakaf oleh sektor swasta dan individu. Ini diikuti dengan mewujudkan sistem perlindungan dalam segenap aspek.
“Misalnya, wakaf kematian, wakaf makanan di atas meja, wakaf pelajaran, wakaf kesihatan. Kalau ini boleh dilakukan, wakaf akan menjadi jawapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.
Manfaatkan konsep wakaf sebagai sistem perlindungan di usia persaraan - Penganalisis
Tambah Barjoyai, istilah wakaf boleh digantikan dengan ‘endowment’ sekiranya perlu untuk menjaga sensitiviti golongan bukan Islam, dalam hal ini.
Seterusnya, beliau berkata antara negara yang melaksanakan model wakaf ini ialah Norway yang berjaya mengumpul dana lebih AS$1 trilion.
“Kejayaan sistem dana kekayaan di Norway yang berjaya kumpul lebih AS$1 trilion boleh menjadi contoh.
“Ia dimulakan dengan dana yang disumbangkan oleh sektor minyak dan gas. Malaysia juga ada kekayaan minyak yang bernilai hampir AS$1 trilion,” katanya lagi.
Pada hujung Januari, Kabinet dilaporkan bersetuju untuk menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen dan pengumuman mengenai tempoh serta tarikh pelaksanaannya akan dibuat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas tetapi golongan baharu yang dilantik kelak perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
#penjawat awam #pencen #wakaf #Barjoyai Bardai
;